KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengugut hendak mencederakan bapanya gara-gara mangsa hendak membuang joran kesayangan miliknya yang telah rosak.
Zuliskandar, 32, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah hendak mencederakan bapa kandungnya berusia 63 tahun dengan mengacukan sebilah pisau.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bintawa, Petra Jaya sekitar jam 2.30 petang pada 30 November lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian semasa pengadu sedang makan di dapur dia melihat anak lelakinya memegang sebilah pisau dan mengacukannya ke arah pengadu sambil mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah “kau mau ka?”.
Tidak lama kemudian, anak bongsu pengadu dan isterinya keluar dari bilik tidur setelah terdengar bunyi bising sebelum turut diacukan pisau serta diajak bergaduh.
Melihat keadaan tersebut, menantu pengadu menjerit meminta tolong sebelum tertuduh melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Hasil siasatan mendedahkan berlaku salah faham antara mereka, apabila pengadu menasihatkan anaknya membuang joran milik tertuduh yang telah rosak.
Selain itu, di mahkamah yang sama tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Bagi kes tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun selepas menjalani hukuman atau membayar denda.



