Mengatasi masalah trafik Kota Samarahan

MASALAH trafik sememangnya menjadi masalah yang biasa pada masa kini.

Peningkatan jumlah kenderaan dan pertambahan penduduk menyebabkan keadaan jalan raya saban hari menjadi sesak.

Kota Samarahan dikenali sebagai kawasan hangat bagi masalah kesesakan lalu lintas terutamanya ketika waktu puncak.

Keadaan sesak selalunya bermula dari 6 pagi dan setelah tamat waktu bekerja iaitu 5 petang.

Memetik akhbar tempatan, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata, setiap hari pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan berhubung masalah ini sehingga menimbulkan kegelisahan penduduk di kawasan terbabit.

Beliau berkata MPKS dalam perkara tersebut, pihak mereka terus berusaha mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membincangkan apakah langkah terbaik yang dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.

Kepentingan Rakyat

Sementara itu, beliau juga terus berharap agar kerajaan mengkaji perkara ini dengan segera demi kepentingan rakyat.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diarah menjalankan kajian aliran trafik di Bahagian Samarahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang kritikal di kawasan itu, terutama pada waktu puncak.

Isu kesesakan lalu lintas sepanjang Kota Samarahan ke Kuching termasuk laluan ke Asajaya meresahkan orang ramai kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dalam akhbar tersebut.

Bagi mengatasi masalah tersebut, kata Masing lampu isyarat dipasang di lima bulatan utama iaitu di Jalan Setia Raja-Kota Samarahan, Stutong-Kota Samarahan (berdekatan Giant), Institut Latihan Perindustrian (ILP)/Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pusat Jantung dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Kesemua peruntukan untuk pembinaan tersebut sebanyak RM110 juta dan mengambil masa beberapa tahun untuk siap, katanya.Walaupun isu kesesakan lalu lintas tersebut masih menjadi isu yang hangat bagi 200,000 penduduk di kawasan Samarahan, namun penduduk tetap sabar mengharungi perjalanan yang sesak demi sampai ke pejabat masing-masing.

Sehubungan itu, peruntukan yang besar daripada kerajaan mungkin diperlukan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas bukan sahaja di Kota Samarahan malah keseluruhannya di Bahagian Kota Samarahan tersebut.

Pembinaan lampu isyarat mungkin sedikit akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan.

Mempercepat Perjalanan

Terdapat penduduk yang mencadangkan sekiranya kerajaan mampu menyediakan jejambat untuk mempercepat perjalanan lalu lintas.

Ini perancangan jangka panjang yang bakal memudahkan perjalanan dan pergerakan penduduk yang menggunakan jalan Kota Samarahan.

Malah, tahniah kepada penduduk yang mendiami kawasan Kota Samarahan kerana bersabar dengan isu kesesakan lalu lintas walaupun ia mungkin mengambil masa panjang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jika dilihat, walaupun keadaan sesak, pemandu di kawasan tersebut tidak membunyikan hon mereka dan tetap sabar mengharungi kesesakan lalu lintas secara berhemah.Kini, satu-satunya langkah penduduk tiba awal di pejabat adalah dengan bergerak seawal 4.30 atau 5 pagi dari kediaman masing-masing.