Tajuk: Inspirasi Za’ba: Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang
Terbitan: Jejak Tarbiah
Penulis: Komuniti Jejak Tarbiah
Muka Surat: 146 muka surat
Tahun: 2024
Harga: RM29
BUKU Inspirasi Za’ba: Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang merupakan kumpulan tulisan pelbagai penulis yang menyoroti pemikiran dan sumbangan tokoh besar Melayu, Za’ba.
Diterbitkan oleh Jejak Tarbiah, buku ini menampilkan kerencaman bentuk penulisan, termasuk artikel ilmiah, esei dan cerpen yang berpusat pada tema pemikiran Za’ba serta pengaruhnya terhadap masyarakat.
Daya tarikan utama buku ini ialah kepelbagaian gaya penyampaian yang menjadikannya mudah dibaca walaupun oleh mereka yang sibuk.
Setiap tulisan berdiri sendiri dan tidak terikat dengan susunan linear seperti karya akademik, sekali gus membolehkan pembaca menelusuri mana-mana bab mengikut keselesaan.
Format ini menjadikan buku ini sesuai untuk pembaca umum yang ingin mengenali pemikiran Za’ba tanpa tekanan akademik.
Dari segi kandungan, buku ini berjaya memperkenalkan semula idea utama Za’ba dalam bentuk yang praktikal dan kontekstual.
Petikan daripada karya beliau disertakan dengan huraian serta tafsiran semasa yang membolehkan pembaca melihat bagaimana pemikirannya tentang budi, kemajuan dan tanggungjawab diri masih relevan.
Buku ini berperanan sebagai jambatan kepada karya asal Za’ba seperti Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri serta mendorong pembaca mendalami tulisan beliau secara langsung.
Selain memperkenalkan, buku ini juga cuba menghidupkan kembali pemikiran Za’ba dalam konteks kontemporari.
Ia menunjukkan bagaimana prinsip dan nilai yang dibawa oleh beliau boleh diterapkan dalam kehidupan moden, pendidikan dan organisasi.
Pendekatan ini menjadikan buku ini bukan sekadar bahan bacaan retrospektif, tetapi juga panduan nilai serta etika yang boleh diamalkan pada masa kini.
Za’ba sebagai tokoh pembaharu masyarakat tidak berminat membicarakan masalah sifat dua puluh, rukun iman, rukun Islam, hukum fi qah, soal muamalat, soal munakahat, halal haram, sah, batal, wajib, sunat, tasawuf dan sebagainya.
Namun, tokoh ini memilih untuk menyentuh perihal akhlak, budi pekerti serta pendidikan orang Melayu.
Beliau begitu cermat memilih tema penulisannya dan hanya berbicara tentang perkara yang membangkitkan kemajuan bangsanya tanpa memperincikan hal yang bersifat picisan.
Buku ini merupakan himpunan penulisan yang diilhamkan oleh pemikiran Pendeta Za’ba, hasil karya sahabat Komuniti Jejak Tarbiah.
Secara keseluruhan, Inspirasi Za’ba: Revolusi Tanpa Budi Tidak Pernah Menang merupakan usaha yang baik dalam memperkenalkan pemikiran Za’ba kepada generasi baharu.
Ia sesuai dijadikan bahan wacana ilmiah atau bacaan umum untuk memahami warisan pemikiran Melayu yang berasaskan budi dan akal.



