ARTIKEL

Mentua baik itu rezeki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TULAR isu pergaduhan antara adik ipar dengan menantu abang seorang selebriti dengan satu keluarga pempengaruh kaya Malaysia yang menjadi sorotan pelbagai portal minggu ini.

Sisi di dalam kain seorang ipar dan menantu terselak satu per satu demi mempertahan mentua juga adik ipar kepada pelakon menjadi pencarian dan perkongsian popular hiburan Facebook, Instgram dan TikTok.

Saya tertarik dengan perkongsian netizen yang menggelar ia sebagai drama menantu vs adik ipar serta mentua tua yang sudah lima kali berkahwin.

Saya tidak membaca sebagai bacaan hiburan tetapi saya teringat diri sendiri yang menjadi menantu pasangan suami isteri yang sangat baik.

Saya mungkin antara yang bertuah kerana dikurniakan emak dan bapa mentua yang menyantuni saya seperti anak sendiri. Sama seperti menantu lain, tidak mudah untuk saya tinggal sebumbung dengan mentua.

Mana-mana isteri pun tidak sanggup sebaik selepas berkahwin, masuk pindah ke rumah mentua.

Di sini, pergerakan kita terbatas malah pada bulan pertama, mahu menuang air kosong ke dalam gelas pun kita kekok di depan mentua.

Jadi, suami yang baharu berkahwin dan tiada pilihan serta terpaksa membawa isteri tinggal serumah dengan emak bapa mereka perlu memandang serius juga jika isteri kalian agak keberatan.

Bagi yang mampu, mungkin membeli kediaman baharu atau menyewa rumah supaya lebih berdikari.

Saya pula, tidak ada pilihan kerana saya menantu perempuan tunggal.

Saya lagi terbeban kerana mahu menjaga seorang lelaki di depan emaknya seperti menjalani ujian memandu di depan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan.

Saya datang kosong, tanpa ilmu memasak.

Lagi satu, kerja saya bukan seperti orang lain.

Saya turun kerja jam 2.00 petang balik jam 10 malam.

Jadi kedua-dua mentua mengalami situasi baharu dengan kerja menantu mereka.

Ibu mentua saya pula seorang suri rumah tangga sepenuh masa.

Pagi-pagi dia memasak sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Sudah semestinya saya rasa bersalah sangat kerana datang-datang malam, ada hidangan di atas meja.

Ketika itu, jiwa saya agak tertekan kerana saya tidak terbiasa melihat orang tua menghidang makanan untuk kita, lagi-lagi mentua.

Hubungan kami masih belum akrab.

Maksudnya masih ada jurang antara saya dengan ibu mentua.

Namun hari demi hari, kami mula menjadi akrab. Agak-agak kalian apa yang mengakrabkan kami?

Ruang dapur. Itu yang mengeratkan kami.

Apabila sudah erat, saya bebas tanpa kekok menggunakan ruang dapur — kelas belajar saya setiap hari.

Saya belajar masak daripada dia pada pagi dan tengah hari menjadikan hubungan kami semakin rapat.

Kami keluar berbelanja makanan dapur berdua dan setiap hari ada sahaja ilmu yang dia kongsi kepada saya.

Pagi-pagi apabila emak mentua saya menonton televisyen kecil di ruang meja makan di dapur, dia akan menyuruh dan melihat saya memasak sambil menonton drama.

Dia akan membebel jika ramuan di dalam masakan sedikit. Katanya, yang hendak makan kita, jadi jangan kedekut. Saya rasa ini menjadikan hubungan kami semakin erat.

Saya bertuah kerana apabila ada anak, saya tidak perlu menghantar ke rumah pengasuh seperti sesetengah kawan-kawan saya ketika itu.

Apabila saya balik ke malam, dia juga sudah melipat dan mengemas pakaian kami dan diletaknya di dalam bakul.

Jika ada kawan-kawan lain merungut dengan sikap ibu mentua mereka yang cerewet, saya pula diam kerana lebih bagus dia cerewet daripada dia tidak peduli langsung dengan menantu.

Saya anggap isteri yang menolak untuk berbaik dengan mentua itu hilang momen manis dalam perkahwinan mereka.

Mentua setaraf ibu kandung kita. Jadi, berkecil hati dengan mereka merupakan perkara normal.

Yang kita kahwini ialah anak lelaki mereka. Jadi, kasih ibu kepada anak lelakinya takkan hilang begitu sahaja.

Perkara biasa jika sesekali mentua tidak bersetuju dengan beberapa pendapat menantu.

Saya yakin semua bebelan mereka hanya kerana anak lelaki yang kita kahwini.

Walau tidak dapat dinafikan memang ada mentua cerewet, suka menghakimi menantu dan pilih kasih.

Wujud dan ada.

Saya anggap diri rezeki saya bertemu dengan mentua terlalu baik.

Kasih saya dan semua menantu yang bertuah seperti saya bukan dibuat.

Hati kami penuh sayang — bukan bukan kerana terpaksa, tapi lahir dari rasa hormat yang tulus.

Mentua bukan sekadar ibu kepada suami kita, tapi kini dia seperti ibunya sendiri.

Bukan mudah membina hubungan begitu.

Tetapi saya percaya, dalam rumah tangga, bukan hanya suami yang perlu dijaga.

Mentua juga merupakan amanah yang harus dijaga.

Dia wanita yang melahirkan, membesarkan, dan mendidik lelaki yang kini menjadi suami kita.

Tiada alasan untuk tidak mengangkatnya setinggi kasih yang sama seperti untuk ibu sendiri.

Mengangkat mentua seperti emak sendiri bukan hanya soal adab, tapi soal keikhlasan, dan kematangan.

Apabila kita hormat dan sayang mentua, kita sedang menjaga maruah keluarga, merawat hati suami, dan membina suasana rumah tangga yang tenteram.

Mentua bukan orang luar.

Dia ibu yang kedua, bukan pengganti ibu kandung kita berdiri di tempat yang mulia juga.

Sayalah menantu yang banyak mencipta kenangan dengan ibu mentua dan saya tetap mengingati dan meletaknya di bahagian istimewa di hati saya.

Sepanjang hidupnya, saya melihat dia bahagia membahagiakan suami dan kami semua.

Pada pengakhiran hidupnya, tujuh tahun dia terlantar sakit, saya sepenuh hati menjaganya walaupun kadangkala saya menangis sendirian kerana penat tetapi kini saya puas hati kerana melakukan yang terbaik untuknya daripada pakaian, makan minum, berak kencingnya — sesungguhnya saya ikhlas dan tidak pernah menyesal.

Saya lakukan kerana hati saya sendiri mahu lakukannya bukan kerana terpaksa.

Sebab saya selalu ingat, hari ini saya menantu, esok lusa saya bergelar mentua.

Apaapa yang dia berikan hari ini, itulah yang saya akan kembalikan kepada menantu saya suatu hari nanti.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha