ARTIKEL

Menulis semula takdir?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SUDAH termaktub bahawa manusia mampu menerima genetik sebagai takdir. Warna mata, ketinggian, kecenderungan terhadap penyakit dan pelbagai ciri biologi lain dianggap sebagai sesuatu yang diwarisi.

Namun, kemunculan teknologi CRISPR-Cas9 mengubah persepsi tersebut. Kini, dikatakan manusia tidak lagi sekadar membaca kod kehidupan, malah dunia baharu memberi peluang dan potensi agar manusia dapat menulis semula kod tersebut serta memilih.

Ironinya, secara falsafah, sama ada mengikut rentak sebuah takdir atau memilih jalan baharu, akhirnya ia juga tetap dianggap sebagai sebuah takdir.

CRISPR-Cas9 merupakan teknologi penyuntingan gen yang membolehkan saintis memotong, membuang atau menggantikan bahagian tertentu DNA dengan ketepatan yang luar biasa.

Ringkasnya, jika DNA diibaratkan sebagai sebuah buku arahan kehidupan, CRISPR-Cas9 berfungsi seperti alat penyunting teks yang membolehkan kesilapan diperbetul atau kandungan baharu ditambah.

Teknologi ini dianggap antara penemuan saintifik paling penting abad ke-21 kerana potensinya yang mampu mengubah masa depan perubatan, pertanian dan bioteknologi secara menyeluruh. Dari sudut positif, manfaat CRISPR-Cas9 sukar dinafikan.

TEKNOLOGI

Teknologi ini membuka peluang agar penyakit genetik yang selama ini dianggap mustahil untuk disembuhkan dapat dirawat. Penyakit seperti anemia, fibrosis sista dan beberapa jenis kanser kini berada dalam radar rawatan berasaskan penyuntingan gen.

Dalam bidang pertanian pula, saintis mampu menghasilkan tanaman yang lebih tahan kemarau, rentan daripada serangan perosak dan perubahan iklim. Ketika dunia berdepan ancaman keselamatan makanan serta peningkatan populasi global yang dijangka mencecah hampir 10 bilion menjelang 2050, teknologi seperti CRISPR-Cas9 

mungkin menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Namun, di sebalik harapan tersebut, timbul persoalan besar yang tidak mudah diabaikan, adakah manusia benar-benar bersedia memegang kuasa untuk mengubah kod kehidupan?

Sejarah menunjukkan setiap kemajuan teknologi sering datang bersama risiko yang tidak dijangka. Tenaga nuklear misalnya dicipta untuk manfaat manusia, tetapi akhirnya turut menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran.

Persoalannya, adakah CRISPR-Cas9 bakal mengulangi corak atau bentuk yang sama? Kebimbangan terbesar berkaitan teknologi ini ialah kemungkinan penyuntingan gen embrio manusia.

KONSEP

Jika hari ini CRISPR digunakan untuk menghapuskan penyakit genetik, bagaimana pula jika pada masa depan ia digunakan untuk memilih warna mata, tahap kecerdasan atau ciri fizikal tertentu?

Konsep “bayi ubah suai genetik” yang suatu ketika dahulu hanya wujud dalam filem fiksyen sains, kini semakin menghampiri realiti. Keadaan ini dapat mewujudkan jurang sosial baharu antara mereka yang mampu membeli “penambahbaikan genetik” dengan mereka yang tidak mampu.

Lebih membimbangkan, teknologi ini masih belum sempurna. Walaupun ketepatannya tinggi, risiko kesilapan penyuntingan atau kesan luar sasaran tetap wujud. Kesalahan kecil dalam DNA boleh menyebabkan kesan kesihatan yang tidak dijangka dan  mungkin diwarisi oleh generasi akan datang.

Dalam konteks ini, kesilapan bukan sekadar menjejaskan satu individu, tetapi berpotensi mempengaruhi keseluruhan keturunan manusia. Bagi Malaysia, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana teknologi ini harus dimanfaatkan secara bertanggungjawab sekiranya dibenarkan beroperasi.

ETIKA

Negara tidak hanya menjadi pengguna teknologi asing sematamata. Pelaburan dalam penyelidikan bioteknologi, pembangunan bakat saintifik tempatan dan penggubalan rangka kerja etika perlu diperkukuh. Jika tidak, kita mungkin hanya menjadi pemerhati kepada revolusi genetik yang sedang berlaku di depan mata.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu didedahkan dengan literasi sains yang lebih baik. Perbincangan berkaitan tidak boleh terhad di makmal atau persidangan saintifik sahaja.

Ia perlu melibatkan ahli agama, pembuat dasar, pendidik dan orang awam kerana implikasinya menyentuh soal kemanusiaan, moral dan masa depan generasi akan datang. Hakikatnya, CRISPR-Cas9 bukan sekadar alat saintifik, ia merupakan simbol era baharu dengan manusia semakin hampir mengawal mekanisme asas kehidupan itu sendiri.

Persoalan sebenar bukan lagi sama ada kita mampu mengubah gen manusia, tetapi sama ada kita mempunyai kebijaksanaan, etika dan tanggungjawab yang mencukupi untuk menggunakan kuasa tersebut.

Dalam perlumbaan menguasai teknologi genetik, cabaran terbesar bukanlah kekurangan pengetahuan, tetapi memastikan kemajuan sains tidak mendahului kebijaksanaan manusia.

Sekali lagi, secara falsafah, kita mungkin beranggapan seperti telah memilih jalan baharu, ibarat doa meminta dijauhi segala kemungkinan, akhirnya ia juga tetap dianggap sebagai sebuah takdir kerana ia masih di atas paksi yang mahu dilalui seterusnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU