TUJUH belas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, bermakna kita juga akan mempunyai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu.
Penambahan ini setelah DUN Sarawak meluluskan Rang UndangUndang (Komposisi Keanggotaan) Dewan Undangan Negeri, 2025, yang mencadangkan penambahan 17 kerusi baharu, akan menjadikan DUN Sarawak mempunyai 99 kawasan dan 99 ADUN secara keseluruhan.
Semakin banyak kawasan DUN, dan semakin ramai yang akan bergelar Yang Berhormat (YB), maka semakin deras pembangunan Sarawak selepas ini.
Seluruh kawasan negeri ini seluas 124,450 kilometer persegi selepas ini akan terus membangun, terutama kawasan yang jauh di pedalaman, seiring dengan pembangunan di kawasan bandar.
Dan, suara rakyat akar umbi akan terus bergema nyaring setiap kali persidangan DUN berlangsung, kerana ada 99 ADUN yang akan membawa suara hampir tiga juta penduduk Sarawak. Bukan sekadar membawa suara lebih 1.9 juta pengundi Sarawak.
Setelah diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai lalu, selepas ini hanya menunggu Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 17 kawasan DUN baharu ini kelak.
Sama ada sempat untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-16 atau tidak, ia terpulang kepada SPR.
Dan, setelah DUN Sarawak meluluskan penambahan 17 kawasan baharu, kini ada cerita baharu pula. Siapa yang yang dipilih mewakili 17 kawasan berkenaan kelak.
Bermakna, kita akan menerima 17 YB baharu yang akan mewakili parti politik di negeri ini.
Cakap-cakap orang politik peringkat akar umbi berbunyi seperti ini, “Lepas tok akan ada YB baharu.
Jadi, rami yang akan melobi untuk menjadi YB”. Jawab seorang lagi, “Gine nak melobi jadi YB, sedangkan 17 kawasan ya pun belum ditauk sine”.
Apa-apa pun, yang kuat melobi belum pasti akan diterima dan diberikan tauliah untuk mewakili parti bagi merebut kerusi baharu dalam pilihan raya negeri kelak.
Sebab, pemilihan bukan diukur pada siapa yang kuat melobi, tetapi sejauh mana penerimaan penduduk kawasan serta wibawa calon membangunkan kawasan yang diwakilinya.
Integriti
Calon mestilah diyakini berintegriti tinggi, tidak terlibat dengan mana-mana kes jenayah, berpendidikan, berpengetahuan dalam banyak hal, terutama berkaitan dengan dasar pembangunan Kerajaan Sarawak sekarang dan akan datang.
Dengan ramainya yang ingin melobi menjadi calon YB, sebenarnya ada baiknya.
Ini menjelaskan ramai anak Sarawak berhasrat dan berminat untuk berkhidmat dengan rakyat dan negeri. Sebab bukan semua orang ingin menjadi YB.
Hanya mereka yang benar-benar yakin dengan keupayaan, kebolehan dan kelebihan diri akan tampil untuk berkhidmat. Paling mudah untuk dibandingkan apabila diadakan pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Sedangkan hanya di peringkat sekolah, ramai yang enggan untuk menjadi Yang diPertua PIBG. Bukan tidak pernah berlaku dewan mesyuarat kekurangan ahli PIBG apabila ahli jawatankuasa yang lepas dibubarkan.
Masing-masing enggan untuk terlibat. Cukup sekadar memberikan sokongan.
Bukan tidak mahu terlibat sebagai pemimpin PIBG, tetapi ditolak disebabkan tidak akan dapat memberikan komitmen seratus peratus. Ada yang sudi menerima pencalonan dan kemudian dipilih, akhirnya terpaksa mengundurkan diri atas sebab tidak mahu perjalanan persatuan terencat.
Jadi, bagi mereka yang ingin menjadi YB di 17 kawasan DUN baharu di Sarawak kelak, pastikan anda cukup rapat dengan rakyat. Sebab rakyat ialah pelanggan utama dalam perkhidmatan YB.
Buka mata selepas tidur, rakyat di depan mata, keluar rumah rakyat ada di luar rumah, minum di kedai — rakyat juga ada, tengah menonton televisyen pada malam hari — masalah rakyat dilihat dan apabila tidur — rakyat yang dimimpikan.
Untuk itu, jawatan sebagai YB bukan untuk bersenang-senang
. YB senior pasti sudah tahu akan hal ini.
Sebab itu, mereka mampu bertahan demi untuk memastikan rakyat di kawasannya hidup selesa dengan segala kemudahan.
Orang muda
Jadi, orang muda yang ingin menjadi YB mesti faham betulbetul dengan tugas seorang YB.
Tiada yang lain dipinta rakyat selain keperluan di kawasan dipenuhi, apatah lagi sesuatu yang dijanji sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya. Tiada jambatan, maka perlu dibina jambatan.
Tiada jalan, maka bina jalan, dan jika tiada bekalan elektrik dan air, segera berurusan dengan pihak utiliti bagi menyelesaikan masalah tersebut.
YB menjadi orang nombor satu yang berurusan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan segala keperluan rakyat di kawasannya dipenuhi.
Jika tidak, YB mesti tebal telinga mendengar komen dan kritikan rakyat.
Atas sebab itu juga, mana-mana parti tidak sembarangan memilih individu sebagai calon untuk bertanding dalam PRN.
Calon pula sekadar boleh menang, tetapi boleh bekerja. Sebabnya, tiada hasil melantik individu yang boleh menang pilihan raya tetapi hasil kerja kelak tidak memuaskan klien utama — rakyat.
Bagi rakyat pula, wujudnya 17 kawasan baharu akan memberikan banyak kelebihan.
Pembangunan akan lebih cepat dilaksanakan terutama bagi kawasan DUN yang saiznya besar sebelum ini.
Bermakna, peruntukan akan lebih banyak disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk pembangunan sesebuah kawasan.
Dengan demikian, pembangunan kawasan luar bandar dan pedalaman juga dapat dipercepatkan.
Dengan penambahan 17 kawasan yang menjadikan 99 kawasan DUN, bermakna Sarawak selepas memerlukan tambahan lagi kerusi parlimen. Setakat ini, Sarawak mempunyai 31 kawasan parlimen.
Dan dengan penambahan kawasan parlimen suatu hari kelak, bermakna, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada ahli parlimen untuk Sarawak juga akan bertambah.
Manfaatnya akan diterima oleh rakyat. Jadi, usaha penambahan kawasan DUN dan parlimen harus disokong oleh semua pihak, tidak kira ideologi politik yang dibawa.
Ini bukan kerana kuasa, tetapi demi rakyat dan Sarawak, lebihlebih memerlukan banyak suara dan wakil di DUN dan parlimen bagi menuntut hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.



