RAJAN Mahbubani, 48, pemilik sebuah syarikat konsultan dari New Delhi, baru-baru ini di tahan pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi atas kesalahan menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan Jerman iaitu Lufthansa.
Ketika ditahan, dia dikatakan mahu menaiki pesawat AirAsia menuju ke Kolkata. Pihak pengurusan pesawat menghubungi pegawai Lufthansa untuk mengesahkan pesawat itu akan dipandu oleh seorang lelaki yang memakai pakaian seragam syarikat terbabit.
Sepasukan pegawai Lufthansa kemudiannya dihantar untuk mengesahkan identiti pemandu tersebut namun selepas mereka bersemuka dengan Mahbubani, dia mengaku menyamar menjadi juruterbang dan kerap turun naik pesawat.
Dia menggunakan teknik penyamaran ini untuk melepaskan diri daripada melalui pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
Penyamaran ini sudah dilakukannya sejak beberapa bulan sebelum dia ditangkap. Menurutnya, pakaian seragam itu turut memberinya beberapa kelebihan antaranya sentiasa didahulukan ketika menaiki pesawat, diberi tempat duduk percuma malah dia juga sempat berswafoto di dalam kokpit pesawat.
Dia memberitahu polis dia memperoleh pakaian seragam dan kad pengenalan palsu itu di Bangkok. Hasil penemuan foto di dalam telefon bimbitnya, selain menyamar menjadi juruterbang, Mahbuban juga pernah menyamar menjadi seorang pegawai tentera.



