KEBENARAN untuk memasuki pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, walaupun hanya sebagai wakil media, ternyata amat bermakna.
Hal ini demikian kerana, untuk berada dalam DUN, seseorang mesti mempunyai akses yang sah memandangkan bangunan tersebut merupakan bangunan penting yang menempatkan aktiviti perundangan dan perbincangan hal ehwal negeri.
Oleh itu, pas masuk digunakan untuk mengawal dan mengenal pasti setiap individu yang masuk, sekali gus mengurangkan risiko ancaman keselamatan dan gangguan.
Kehadiran penulis semasa persidangan DUN baru-baru ini menyedarkan penulis bahawa ini bukan sekadar lawatan, tetapi satu bentuk pelibatan langsung dalam menyaksikan proses demokrasi.
Cuaca yang baik pada hari itu seolah-olah melengkapkan pengalaman yang akan terpahat dalam ingatan penulis sepanjang hayat.
Penulis berada di lokasi sejak jam 11.30 pagi, dan sepanjang tempoh itu, rakanrakan setia menemani serta tidak jemu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan.
Melihat rakan-rakan media dan rakan-rakan sendiri menemu bual menteri-menteri menunjukkan bahawa diri ini tidak berseorangan dalam mempelajari perkara baharu di sini.
Mereka juga seperti penulis, yang sedang menelusuri pengalaman hidup sebagai wartawan pelatih di Suara Sarawak.
Semasa berada di sana, penulis mendapati bahawa DUN kini menyediakan sebuah bilik khas untuk wakil media menjalankan tugas masingmasing.
Kemudahan ini sememangnya membantu dalam menyiapkan tugasan, sekali gus menunjukkan keprihatinan terhadap pihak media. Selain itu, DUN mempunyai dua kafeteria utama, iaitu Kafeteria 1 yang terletak di tingkat G dan Kafeteria 2 yang terletak di tingkat 2.
Kafeteria-kafeteria tersebut menyediakan pelbagai jenis juadah yang menyelerakan, termasuk pencuci mulut dan hidangan Barat.
Tambahan pula, pengalaman ini merupakan peluang yang jarang diperoleh dan mengukuhkan keyakinan terhadap pelibatan aktif serta kekuatan tindakan kolektif.
Semasa berada di sana, kelihatan juga rombongan pelajar sekolah menengah yang mengadakan lawatan sambil belajar dan diiringi oleh guru pengiring.
Mereka turut berkongsi perasaan dan pandangan masing-masing semasa berada di DUN.
Penulis turut menemu bual beberapa pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Song mengenai pengalaman mereka menghadiri persidangan DUN pada hari tersebut.
Julian yang datang dari Kota Samarahan bersama rakanrakannya yang lain diiringi oleh tiga orang guru pengiring.
Bagi Julian, kunjungan ini merupakan pengalaman sulungnya sebagai pelajar menjejakkan kaki ke lokasi bersejarah itu, dan keterujaannya jelas terpancar ketika menyaksikan suasana persidangan yang selama ini hanya dikenalinya melalui buku dan berita.
Di samping itu, lawatan tersebut sedikit sebanyak menimbulkan hasrat dalam dirinya untuk kembali ke DUN pada masa hadapan, terutamanya kerana dia teruja untuk menyaksikan wakil rakyat bersidang.
Walau bagaimanapun, Julian menyatakan bahawa beliau belum berhasrat untuk menceburi bidang politik secara langsung.
“Lawatan selama empat hari ini telah membuka mata saya dan rakan-rakan terhadap salah satu sisi dunia politik yang mungkin tidak pernah kami bayangkan sebelum ini,” katanya.
Penulis turut diberi tanggungjawab menemu bual seorang menteri bagi segmen ‘Sekilas Tanya’.
Peluang ini benar-benar di luar jangkaan kerana penulis tidak pernah terlintas dalam fi kiran akan berpeluang berbicara secara langsung dengan seorang menteri, apatah lagi diberi kepercayaan untuk melakukannya dalam pengalaman sekali seumur hidup.
Semasa berada di DUN, penulis berpeluang menemu bual Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan N.4 Pantai Damai.
Sebagai ADUN N.4 Pantai Damai, beliau aktif dalam pelbagai usaha pembangunan di kawasannya, termasuk meningkatkan kualiti pendidikan dan menambah baik kemudahan sukan.
Meskipun sibuk berkhidmat sebagai ADUN, penulis tetap berpeluang menemu bual beliau serta mengemukakan beberapa soalan ringkas mengenai sisi peribadinya yang kurang diketahui umum.
Pengalaman menemu bual beliau benar-benar menyedarkan penulis bahawa pemimpin juga manusia biasa seperti kita, dengan minat serta bakat yang unik.
Beliau juga tidak lokek berkongsi nasihat tentang kepentingan menjaga diri, khususnya dari segi kesihatan mental.
Pada masa yang sama, di pekarangan DUN, penulis melihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak turut membuka reruai pameran.
Tujuan utama mereka ialah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pelbagai penyakit haiwan yang penting, antaranya penyakit kulit berbenjol, penyakit kuku dan mulut, demam Q, batuk kering, sampar ayam, bruselosis, salmonelosis, penyakit kuda, demam babi Afrika, serta rabies yang sering menjadi tumpuan.
Sementara itu, AFFIN Bank turut membuka reruai di perkarangan DUN, menawarkan peluang kepada individu yang berminat untuk membuka akaun.
Mereka memperkenalkan Akaun AFFIN Kenyalang, iaitu akaun simpanan istimewa tanpa keperluan deposit permulaan yang dikhaskan untuk anak-anak Sarawak.
Lawatan ke DUN Sarawak bukan sekadar sebuah tugasan, tetapi ibarat helaian kenangan yang terukir indah dalam diari hidup penulis.
Di sebalik pintu-pintu megah dan gema suara pemimpin, penulis belajar erti keberanian, tanggungjawab, dan iltizam.
Lebih bermakna, perjalanan ini ditemani rakan-rakan seperjuangan, merekalah cahaya kala resah, suara saat sunyi, dan semangat yang tidak pernah padam.
Segala detik ini akan disimpan rapi dalam hati penulis sebagai pengalaman sekali seumur hidup.



