BINTANGOR: Penduduk Meradong bakal menikmati harga barangan makanan pada kadar lebih rendah menerusi Program Jualan Agro MADANI Meradong di Tebingan Sungai Bintangor pada 22 dan 23 Mei ini.
Lebih menarik, program itu turut menggabungkan Program Jualan Agro Sarawakku Sayang yang memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga lebih berpatutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Selain memberi manfaat kepada pengguna, program ini juga membuka peluang kepada petani, penternak serta usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih meluas,” katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan program tersebut yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Meradong, hari ini.
Beliau berkata, platform jualan seperti itu penting dalam memastikan hasil pertanian tempatan dapat dipasarkan terus kepada pengguna tanpa perantara, sekali gus meningkatkan pendapatan pengeluar.
“Program ini bukan sahaja membantu orang ramai mendapatkan barangan pada harga lebih rendah, malah turut memberi peluang kepada pengusaha tempatan memperluas pasaran mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan program berkenaan turut menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan serta merancakkan aktiviti ekonomi penduduk Meradong dan sekitarnya.
“Kerjasama antara agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), PPK serta pihak berkepentingan lain amat diperlukan bagi memastikan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan,” ujarnya.


