KUCHING: Kekurangan pegawai terlatih yang berkelayakan menyebabkan 49 murid pendidikan khas di Meradong masih menunggu saringan untuk ditempatkan ke kelas khas (PPKI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, murid-murid berkeperluan khas termasuk autisme, ADHD, kecacatan pembelajaran, dan lain-lain.
“Saya menyeru Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti untuk memandang serius isu ini.
“Kita mahu semua murid berkeperluan khas dapat menerima pendidikan yang sesuai seperti kanak-kanak lain, seawal mungkin.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurut beliau, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan ketara kes autisme berdaftar dari 6,991 kes pada 2013 kepada 53,323 kes pada 2023, membuktikan keperluan mendesak terhadap intervensi awal dan kemudahan pendidikan khas.
Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan cadangan penubuhan sebuah pusat pendidikan pra-universiti di Meradong, memanfaatkan kedudukannya yang kini menjadi hab penting selepas siapnya Jambatan Batang Rajang.
“Meradong mempunyai kelebihan kos sara hidup paling rendah di rantau ini.
“Dengan persekitaran semula jadi yang masih tidak tercemar dan infrastruktur asas yang mencukupi, ia sangat sesuai untuk dijadikan lokasi pusat pra-U bagi pelajar dari kawasan tengah dan pesisir seperti Tanjung Manis, Daro dan Matu,” ujarnya.
Beliau menyatakan penubuhan pusat sedemikian bukan sahaja akan memberi manfaat pendidikan, tetapi juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan atas peruntukan yang telah disalurkan bagi menaik taraf Kompleks Sukan Bintangor.
“Projek ini telah dimulakan pada Mac 2025 dan dijadual siap pada September 2025.
“Ini berita baik kepada para pelajar dan pengguna setempat yang sebelum ini perlu ke Sarikei untuk acara sukan,” katanya.
Ding menambah dengan kemudahan sukan yang lengkap kelak, Meradong berpotensi melahirkan lebih ramai atlet muda dari kawasan luar bandar.



