MALAM ini, malam ke21 Ramadan. Seperti sebelum ini, mulai malam ini pasti akan diterangi cahaya lampu raya serta cahaya pelita yang menerangi sekeliling rumah.
Dipasang lampu raya dan pelita, bermakna hanya tinggal beberapa hari lagi akan tibanya 1 Syawal — tamatnya berpuasa dan mulanya menyambut Aidilfitri. Tarikh melihat anak bulan bagi menetapkan tarikh sambutan Aidilfitri ditetapkan pada 30 Mac ini.
Di kawasan bandar, biasanya dipasang lampu raya sahaja. Kalau di kawasan kampung, kemeriahan pemasangan lampu raya dan pelita memang akan terasa.
Turut diadakan pertandingan bertuntung. Ini bagi memberi peluang kepada penduduk yang tidak dapat membeli lampu raya.
Lagipun, pelita senang dibuat daripada tin minuman, dan minyak kerosin juga tidak mahal ketika itu.
Bertuntung (pasang pelita minyak tanah) antara perkara yang harus disediakan setiap kali menjelang Aidilfitri.
Biasanya pemasangan pelita akan dimulakan pada malam ke-21 Ramadan hingga ke seminggu sambutan Aidilfitri.
Belajar buat pelita
Biasanya bapa yang akan berusaha menyediakan pelita buatan sendiri.
Saya sendiri turut diajar cara membuat pelita sendiri menggunakan tin minuman ataupun tin makanan di dalam tin.
Paling utama mesti ada tin kosong yang tidak digunakan lagi, kain untuk membuat sumbu, paku saiz tiga atau enam inci, tukul serta gunting tin.
Penulis diajar satu per satu cara membuat pelita.
Kebiasaannya, setiap anak lelaki akan didedahkan dengan pembuatan pelita.
Kenangan paling indah apabila dapat membuat pelita bersama-sama adikberadik.
Pelbagai kerenah dapat diperhatikan.
Jumlah pelita yang dibuat juga bergantung kepada tujuan — sama ada untuk dipasang di halaman rumah ataupun untuk menyertai pertandingan.
Dahulu, sering sahaja jawatankuasa masjid ataupun jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung menganjurkan pertandingan bertuntung.
Ada dua kategori pertandingan iaitu kategori rumah ataupun antara jalan atau lorong.
Dalam tempoh 10 atau tujuh hari sebelum Aidilfitri, jawatankuasa khas akan membuat penjurian berdasarkan kemeriahan serta kekreatifan memasang pelita.
Begitu juga pertandingan menghias pintu gerbang.
Ramai yang mula mendapatkan kayu di hutan berdekatan untuk membina rangka pintu gerbang di setiap jalan masuk lorong atau kampung.
Jika kampung mempunyai tujuh jalan, maka akan ada tujuh pintu gerbang pelita.
Penduduk kampung akan bersama-sama membina pintu gerbang itu.
Bukan setakat untuk menang, tetapi memeriahkan suasana kampung dengan cahaya pelita.
Pemenang
Biasanya pemenang akan diumumkan selepas solat sunat Aidilfitri.
Sekarang diumum ketika ramah-tamah Aidilfitri peringkat kampung.
Hadiah pula biasanya wang tunai, piala dan hamper.
Minggu lepas, saya menerima mesej dalam kumpulan WhatsApp kampung yang menyatakan akan diadakan pertandingan lampu raya untuk peringkat kampung.
Seingat saya, rasa-rasanya sudah lama tidak dianjurkan pertandingan sedemikian. Berbeza sangat dengan situasi ketika 80-an dan 90-an.
Hampir setiap tahun diadakan pertandingan lampu raya. Ketika itu, memang ramai yang menyertai pertandingan ini.
Tiada yuran dikenakan, tetapi mesti mengisi borang penyertaan.
Hadiah RM150 untuk juara.
Bagi yang kreatif, lampu raya dihias sehingga di atas pokok.
Ada yang memasang lampu raya pada daun pokok pisang.
Dari jauh memang terserlah kemeriahan dengan lampu raya warna-warni.
Ketika berbasikal ronda-ronda kampung bersama-sama rakan, sudah dapat diagak rumah yang bakal juara.
“Ku yakin, rumah Aji Hasan juara tahun tok.
Diat ko lampu raya dipasang sampe atas pokok pisang,” jelas Tony kepada kami empat orang. Itu dahulu.
Sekarang agak kurang penganjuran pertandingan bertuntung. Jika ada pun, biasanya dianjurkan di kampung-kampung luar bandar.
Amat jarang diadakan di kampung kawasan bandar.
Malah tidak ramai masyarakat hari ini memasang pelita.
Diganti pula dengan lampu warna-warni yang dipasang keliling rumah.
Tidak perlu membuat sendiri, lampu ini boleh ditempah dari kedai.
Malah ada yang hanya menggunakan tenaga solar.
Tiada lagi keriuhan adik-beradik ketika bersama-sama membuat pelita sambil dibantu bapa.
Perubahan zaman
Tiada lagi penduduk kampung pergi ke hutan berdekatan mencari kayu untuk membuat pintu gerbang.
Sebab itu, ramai anak-anak sekarang tidak pandai membuat pelita minyak tanah.
Jika ada pun, mungkin tidak ramai.
Apa-apa pun inilah yang harus diterima hari ini.
Bukan sahaja memasang lampu warna-warni lebih mudah, malah kesukaran mendapatkan kerosin (minyak tanah) juga menyebabkan ramai yang tidak lagi mahu memasang pelita.
Jika ada pun pelita yang dijual, pelita itu telah diubah suai.
Tidak lagi menggunakan minyak tanah, sebaliknya menggunakan elektrik.
Juga lebih mudah. Sekurang-kurangnya ada juga pelita walaupun cahayanya tidak sama. Inilah perubahan yang berlaku hari ini.
Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini, mungkin banyak pihak boleh menganjurkan pertandingan bertuntung sama ada di kawasan kampung ataupun perumahan.
Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan ruang untuk generasi muda terutama remaja dan kanakkanak untuk melihat bagaimana aktiviti bertuntung diadakan.
Seorang kawan ada memberitahu, “Setiap kali lepas tarawih dalam 10 malam terakhir, saya akan membawa anak-anak jalan-jalan di kawasan kampungkampung sekitar Kuching.
Saya nak anak-anak saya melihat kemeriahan suasana sambutan Aidilfitri apabila ada aktiviti bertuntung”.
Jelasnya, kalaupun tidak bertuntung, sekurang-kurangnya mereka tahu perkataan bertuntung serta bagaimana bertuntung.
Jangan kelak ditanya “kitak sik bertuntung?” mereka terpinga-pinga tidak tahu makna perkataan tersebut.



