TOKYO: Meta Platforms Inc. melancarkan ejen kecerdasan buatan (AI) peribadi bernama Muse di Jepun, pasaran pertamanya di luar Amerika Utara.
Pengguna boleh memberi arahan melalui teks atau suara dalam aplikasi telefon pintar khusus, manakala ciri asasnya ditawarkan secara percuma.
Selepas disambungkan ke Gmail dan Kalendar Google, Muse mampu meringkaskan e-mel yang belum dibaca serta mengurus jadual pengguna.
Dalam pada itu, Meta merancang menghubungkan Muse dengan perkhidmatan jualan dalam talian Mercari dan aplikasi kewangan peribadi Money Forward ME tidak lama lagi, menurut ketua unit Jepun syarikat itu, Masahiro Ajisawa seperti dilapor Bernama.
Pengguna mengawal aplikasi dan maklumat yang boleh dicapai Muse, sementara ejen itu meminta kelulusan sebelum menghantar e-mel atau membuat pembelian dan tidak dapat melihat kata laluan atau butiran kad kredit.




