Metal Ox mahu menakluki dunia

Masyarakat Tiong Hua di seluruh dunia merayakan Tahun Baharu Cina (TBC) bagi meraikan ketibaan tahun baharu, iaitu Tahun Lembu dalam kalendar lunar masyarakat Cina.

Ada yang menyebutnya sebagai Metal Ox. Namun, apakah perkara yang menarik di sebalik Tahun Lembu? Sebenarnya, mereka yang tergolong dalam zodiak Cina ini dipercayai sering menikmati ‘kejayaan besar’.

Sehingga, ada yang percaya Tahun Lembu sebagai tahun kejayaan besar. Justeru, ketibaan Tahun Lembu ini sangat ditunggu-tunggu sambil berharap kejayaan akan datang bersamanya.

Dalam konteks negara berhadapan pandemik ketika ini, kejayaan besar yang diharapkan ialah kemenangan dalam memerangi Covid-19 setelah setahun ia mengancam kehidupan.

Pastinya, kita semua rindu akan kehidupan sebelum Covid-19 lebih-lebih lagi seperti musim perayaan ini. Seperti perayaan lain, TBC kali ini juga terbatas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tiada rumah terbuka dan sambutan hanya dalam kalangan ahli keluarga. Semua ini demi memastikan penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Baru-baru ini wujud spekulasi yang dimainkan individu tidak bertanggungjawab tentang dakwaan akan wujud Kluster TBC. Tolonglah, janganlah berfikiran cetek, imaginasi semberono yang tidak berasas.

Kerajaan telah menetapkan SOP tertentu bagi sambutan TBC, ia hampir sama dengan perayaan-perayaan lain sebelum ini… tiada yang akan bebas. Dakwaan seperti itu boleh memarakkan api perkauman. Penulis yakin, kluster hari perayaan dapat dielakkan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Formulanya mudah, SOP tidak membenarkan hari terbuka… maka, janganlah diadakan hari terbuka. Jika ada, janganlah dikunjungi.

Kerana, telah dinyatakan dengan terang dan jelas sambutan hanya dalam kalangan ahli keluarga. Ingat, setiap tindakan tidak bertanggungjawab kita akan turut mendatangkan keburukan kepada orang lain.

Justeru, patuhilah semua SOP musim perayaan yang telah ditetapkan. Semoga TBC kali ini terus menjalin ikatan kekeluargaan yang lebih erat. Bagi ahli keluarga yang tidak dapat balik, manfaatkan teknologi terkini untuk terus berhubung.

Sesuai dengan normal baharu, kegembiraan dapat dikongsikan melalui sidang video dan sebagainya. Menarik untuk dikongsikan, memetik artikel Suara.Com pada 2 Januari lalu, Tahun Lembu pada TBC 2021 bermula dari 12 Februari hingga 30 Januari 2022.

Tahun-tahun yang termasuk dalam zodiak ini ialah 1961, 1973, 1985, 1997, 2009, 2021, 2033 dan akan berlaku setiap 12 tahun. Tanda zodiak ini terdiri daripada lima unsur iaitu kayu, air, api, bumi dan logam.

Menurut zodiak Cina, tahun 2021 adalah unsur logam. Lazimnya, perwatakan mereka selalunya aktif dan sibuk, dan juga sangat dihormati kerana hubungan baik mereka dengan orang lain. Mereka kaya dan dihormati pada usia muda, menjalani kehidupan yang stabil pada usia pertengahan, dan menikmati kehidupan yang selesa pada usia tua.

Namun, orang ini harus berhati-hati ketika melakukan hubungan dengan lawan jenis. Lelaki tidak dibenarkan bergaul dengan wanita yang sudah berkahwin, begitu juga wanita tidak boleh bercampur dengan lelaki yang sudah berkahwin.

Kerana, jika itu berlaku tentunya percintaan mereka mungkin berakhir dengan cinta tiga segi. Pasangan yang sudah berkahwin mesti saling hormat-menghormati dan menerima pasangan dengan seadanya.

Jika tidak, mereka akan menghadapi masalah perkahwinan, seperti wujud orang ketiga. Secara umum, orang yang dilahirkan dalam Tahun Lembu merupakan individu yang jujur, tabah dan mempunyai tekad yang kuat.

Wanita yang dilahirkan adalah isteri yang setia dan sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Sementara itu, bagi lelaki mereka sangat patriotik, mempunyai cita-cita, mementingkan keluarga dan pekerjaan.

Malah mempunyai kesabaran dan keinginan untuk mencapai kemajuan lebihlebih lagi bagi mencapai tujuan mereka dengan usaha yang konsisten. Sifat lain, mereka tidak banyak dipengaruhi oleh orang lain atau persekitaran, tetapi terus melakukan sesuatu mengikut tujuan dan kemampuan mereka.

Kemudian, sebelum melakukan apa-apa tindakan, mereka mempunyai rancangan yang jelas dengan langkah-langkah terperinci, yang menerapkan iman dan kekuatan fizikal.

Impaknya, orang dalam kelompok zodiak Lembu ini sering menikmati kejayaan besar. Bagaimanapun, orang yang dilahirkan dalam tanda Lembu juga dianggap paling lemah dalam kemahiran komunikasi. Mereka tidak pandai berkomunikasi dengan orang lain, bahkan menganggap tidak ada gunanya bertukar idea dengan orang lain.

Selamat menyambut TBC kepada semua masyarakat Cina di negara ini amnya dan Bumi Kenyalang khususnya.