ARTIKEL

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan komitmen badan pengendali liga itu untuk meneliti secara menyeluruh setiap kebimbangan yang disuarakan kelab Liga Malaysia.

MFL teliti kebimbangan kelab demi kelangsungan Liga Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Liga Bola sepak Malaysia (MFL) akan meneliti secara menyeluruh pandangan serta kebimbangan yang disuarakan kelab dalam perbincangan meja bulat bersama wakil kelab Liga Malaysia (Liga-M) di sini, hari ini.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sesi perbincangan itu bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan amalan berterusan pihaknya dalam mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan. Beliau berkata, semua maklum balas yang diterima akan diteliti secara bersama bagi memastikan pendekatan terbaik dapat dirangka demi kepentingan semua pihak.

“Ini bukan pertama kali. Perkara seperti ini memang selalu dibuat, cuma kita tidak buat secara langsung atau menguar-uarkan apa yang kita lakukan. Banyak perkara sebenarnya telah ditulis dan dibincangkan oleh masyarakat sebelum ini.

“Sesi perbincangan tersebut diadakan kerana liga hampir tamat dan musim baharu dijangka bermula pada Ogos. Jadi, terdapat banyak pandangan daripada kelab yang menyuarakan kesukaran masing-masing dan perkara itu telah dimaklumkan kepada MFL,” katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan itu.

Ab Ghani menegaskan, peranan utama MFL sebagai pengendali liga bukan tertumpu kepada keuntungan semata-mata, sebaliknya memastikan kelab terus berdaya saing dalam landskap bola sepak domestik.

“Kita ambil maklum semua pandangan tersebut supaya dapat diteliti bersama. Ia bukan soal MFL untung atau kelab untung, tetapi peranan MFL sebagai pengendali liga untuk menjaga kelab agar mereka mampu terus berdaya saing,” katanya.

Perbincangan itu dipengerusikan Ab Ghani dan dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad; Pengarah Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Datuk Seri Mohamad Jaifuddin Bujang; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan; Pengurus Besar Penang FC, Jeffery Chew Gim Eam dan CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Hadir sama ialah 10 wakil kelab daripada Sabah FC, Imigresen FC, Kelantan TRW, PDRM FC, DPMM FC, Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Melaka FC.

Terdahulu, perbincangan meja bulat di sebuah hotel di sini mendapat kejutan dengan kehadiran pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail ketika sesi sedang berlangsung.

Sebelum ini, beberapa kelab menggesa supaya perbincangan serius diadakan termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat melibatkan semua pemegang taruh Liga-M, khususnya susulan situasi kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.

Antara isu berulang yang menjejaskan Liga-M ialah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab selain cabaran peningkatan kos operasi yang diburukkan lagi oleh kesan ketegangan berterusan di Asia Barat. – BERNAMA

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU