ARTIKEL

MHB catat kerugian bersih RM484.19 juta pada tahun kewangan 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM484.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) berbanding keuntungan bersih RM67.77 juta yang disaksikan semasa TK2022.

Bagaimanapun, hasil melonjak kepada RM3.31 bilion daripada RM1.65 bilion.

Segmen kejuruteraan beratnya merekodkan pendapatan RM2.99 bilion, lebih dua kali ganda berbanding RM1.31 bilion yang dialami pada tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek baharu dan sedang berjalan.

Untuk suku keempat (S4 2023), keuntungan bersih MHB turun 77.21 peratus kepada RM6.18 juta daripada RM27.14 juta manakala perolehan menokok kepada RM1.12 bilion berbanding RM424 juta.

“Walaupun melihat pertumbuhan ketara dalam hasil, pada tahap keuntungan operasi, segmen (kejuruteraan berat) mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM499.1 juta untuk TK2023 berikutan peruntukan kos tambahan akibat daripada penyemakan semula jadual serta impak kenaikan harga ke atas projek yang sedang berjalanan sepanjang tahun semasa.

“Selain itu, kelemahan ringgit berbanding dolar US telah memberi kesan negatif terhadap perlindungan nilai belum terima bagi sesuatu projek,” kata anak syarikat MISC Bhd itu.

Mengulas mengenai segmen marin, syarikat itu merekodkan pendapatan berjumlah RM323.9 juta untuk tahun dalam tinjauan, yang mana, ianya adalah RM13 juta lebih rendah berbanding hasil tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM336.9 juta disebabkan oleh perkhidmatan dok kering yang agak lemah untuk kapal pembawa gas asli cecair (LNG) dan kapal lain pada tahun berkenaan.

“Segmen itu melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM22.5 juta pada TK2023, RM39.1 juta lebih rendah berbanding keuntungan operasi sebanyak RM61.6 juta pada tahun yang sama.

“Keuntungan yang lebih tinggi pada tahun yang sama disumbangkan oleh peningkatan laba serta margin termasuk kutipan hutang ragu,” katanya.

Kumpulan itu juga mendedahkan jumlah asetnya menokok sebanyak RM291.2 juta atau 8.7 peratus selepas dipacu oleh perdagangan yang lebih tinggi serta penghutang lain sebanyak RM534 juta dan jumlah itu telah diimbangi sebahagiannya dengan penurunan dalam tunai dan baki bank berjumlah RM239.5 juta.

Jumlah ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti menurun sebanyak RM502.2 juta atau 28.4 peratus disebabkan kerugian komprehensif yang diiktiraf dan dividen yang dibayar pada tahun itu.

Jumlah liabiliti melonjak sebanyak RM793.4 juta disumbangkan oleh kenaikan dalam perdagangan serta pemiutang lain termasuk pinjaman masing-masing berjumlah RM739.8 juta dan RM31.8 juta.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan pasaran minyak akan bertambah baik pada 2024, disokong oleh unjuran permintaan dan harga minyak yang tinggi di tengah-tengah bekalan terhad akibat pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+).

Mengenai pelaksanaan projek, MHB berkata segmen kejuruteraan berat akan terus menghadapi cabaran dalam melaksanakan projek yang sedang berjalan dalam anggaran margin disebabkan oleh kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

Bagi segmen marin, kumpulan itu kekal menyaksikan persaingan sengit, memandangkan kehadiran limbungan pembaikan kapal-kapal pembawa LNG baharu di China serta di beberapa negara jiran yang lain.

“Kami akan terus meneroka peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Dengan penganugerahan beberapa projek ladang angin luar pesisir baru-baru ini, kumpulan itu akan menumpukan usaha bagi meneruskan lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui serta projek dalam bidang penyahkarbonan.

“Bercakap mengenai isu rantaian bekalan global, kami telah mengambil langkah untuk menambah baik strategi kontrak dengan pelanggan yang mana mungkin.

“Walaupun menghadapi cabaran utama dalam beberapa projek, kami tetap komited untuk menyampaikan semua projek yang akan memenuhi keperluan pelanggan,” tambahnya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli