BEIJING: Keaslian budaya, kemudahan persidangan bertaraf dunia serta strategi impak legasi yang unik menjadikan Sarawak terus mendapat perhatian tinggi daripada pemain industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) di China.
Business Events Sarawak (BESarawak) baru-baru ini telah menyertai MICE Meeting Point di Beijing bagi memperkenalkan tawaran baharu negeri itu kepada pembeli korporat dan ejen pelancongan.
Penyertaan tersebut membuka peluang kerjasama sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk acara perniagaan berimpak.
Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Amelia Roziman berkata, sambutan yang diterima amat positif dengan pelbagai pertanyaan daripada rakan kongsi China, khususnya dalam segmen mesyuarat korporat dan insentif.
“Ini berita baik buat Sarawak kerana kini, kita dalam proses membangunkan jenama baharu untuk mesyuarat dan insentif yang menekankan acara berorientasikan tujuan.
“China merupakan pasaran berpotensi besar dan kita yakin dapat membina hubungan yang lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo berkata, minat tinggi yang ditunjukkan dalam sesi pertukaran perniagaan dua hari itu adalah satu langkah permulaan ke arah merangka produk dan perkhidmatan yang menepati kehendak pasaran China.
Sehubungan itu, Sarawak merekodkan 28,815 ketibaan dari China dalam lima bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu dijangka terus meningkat selepas mencatatkan pertumbuhan hampir sekali ganda daripada 39,243 pada tahun 2023 kepada 74,721 pada 2024, iaitu peningkatan 90.4 peratus.
BESarawak menyasarkan 100,000 pelawat dari China sepanjang 2025, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap potensi pasaran tersebut.
Terdahulu, MICE Meeting Point merupakan platform eksklusif industri pelancongan perniagaan di China.
Ia menghimpunkan pemain utama industri, termasuk sesi persidangan bersama pakar antarabangsa dan pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang berlangsung di Hyatt Regency Beijing Wangjing.






