KUCHING: Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Murum, Michael Mujah Lihan dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Negara, hari ini.
Perlantikan Michael bermula 11 Disember hingga 10 Disember 2026 manakala Abdul Halim berkuat kuasa 23 November lalu hingga 22 November 2026, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Wan Junaidi berkata, dengan lantikan kedua-dua Senator itu, maka hampir kesemua negeri mempunyai wakil Ahli Dewan Negara kecuali daripada Melaka yang baru menamatkan tempoh perkhidmatan pada 9 Disember lalu dan dua lagi kekosongan daripada Selangor.
“Saya mengalu-alukan perbahasan kedua-kedua YB Senator ini di dalam sidang dewan yang akan datang.
“Saya menyarankan agar semua Ahli Dewan Negara mengekalkan momentum yang produktif ini dan terus berkongsi input perbahasan dan ucapan kepada media massa, elektronik dan media sosial agar rakyat terus dapat mendapat maklumat dan manfaat daripada perbahasan di dalam dewan yang mulia ini,” katanya.

