PEMEGANG trofi Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, sekali lagi mencuri perhatian apabila mendedahkan beliau memiliki lebih 100 anak patung Labubu, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai peminat tegar figura comel itu.
Pendedahan berkenaan dibuat ketika muncul dalam program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, apabila hosnya, Jimmy Fallon, terkejut lalu bertanya semula bagi memastikan angka itu benar.
Dengan tenang, Yeoh menjawab bahawa koleksinya mungkin melebihi jumlah tersebut, seolah-olah memiliki ‘komuniti makhluk kecil’ di rumah adalah perkara biasa.
Yeoh turut menjelaskan bahawa koleksi itu hadir dalam pelbagai saiz dan warna dan beliau sukar memilih satu kerana semuanya mempunyai daya tarikan tersendiri.
Detik itu tercetus selepas Fallon menayangkan foto sambutan hari lahirnya sebelum ini yang menampilkan kek bertema Labubu. Fallon kemudian mengusiknya sebagai antara peminat terawal trend itu sebelum bertanya sama ada beliau benar-benar menggemari Labubu.
Jawapan Yeoh ringkas tetapi jelas: beliau memang meminatinya. Lebih menceriakan suasana, Yeoh turut membawa hadiah berupa dua anak patung Labubu mini untuk anak perempuan Fallon, lengkap dengan inisial M dan Y sebagai tanda nama Michelle Yeoh.
Anak patung Labubu, ciptaan pereka Hong Kong, Kasing Lung, kini menjadi antara koleksi paling hangat di Asia. Setiap keluaran sering habis terjual dalam masa singkat, malah varian terhad mampu mencecah harga tinggi dalam pasaran peminat.
Fenomena itu terus berkembang di media sosial sepanjang tahun lalu, menjadikan Labubu sebagai trend budaya pop yang merentasi generasi, termasuk selebriti terkenal seperti Michelle Yeoh sendiri.



