ARTIKEL

Tertuduh duduk di kerusi sambil menunggu penerangan daripada pihak SFC.

Miliki 2,000 Telur Penyu, Wanita Didenda RM40,000 Atau Penjara 12 bulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhkan hukuman denda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan memiliki 2,000 biji telur penyu tanpa kebenaran, Julai tahun lalu.

Tertuduh berusia 42 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta hadapan sebuah stesen minyak, di Metrocity, Matang, sekitar 11 malam, 28 Julai 2025.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 37(2)(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dibacakan bersama Seksyen 29(1)(c) Seksyen yang sama.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 bagi setiap bahagian haiwan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan dari Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melakukan serbuan di tempat letak kereta lalu menahan seorang wanita kerana dipercayai memiliki telur penyu iaitu merupakan haiwan terlindung.

Semasa serbuan, tertuduh didapati memiliki 2,000 biji telur penyu yang dibungkus di dalam plastik di dalam sebuah kereta.

Selain itu, dia juga gagal memberikan sebarang alasan munasabah dan kebenaran bertulis kepada pegawai hidupan liar untuk memiliki telur penyu berkenaan.

Hasil siasatan mendapati telur penyu yang dirampas merupakan spesies Chelonidae yang merupakan haiwan terlindung seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual Pertama dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1988.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiman Nabila Alwi dan Pegawai Pendakwa Leonard Baring, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU