KUCHING: Seorang peniaga wanita dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan 14 hari oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana memiliki dan menjual produk kecantikan dan kesihatan yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kho Shin Ru, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menjual dan memiliki 256 produk kecantikan dan kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM di permisnya di Jalan Green, sekitar jam 10.40 pagi, 31 Oktober 2023.
Tertuduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik Peraturan 1984 yang merupakan kesalahan yang sama di bawah Peraturan 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun dan kesalahan kedua serta seterusnya hendaklah didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.



