KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri diperintahkan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki sebilah parang tanpa tujuan sah di tepi jalan Kampung Sungai Riset, Ahad lalu.
Remplesskin Kitih, 30, dari Kampung Chupak membuat pengakuan itu sebaik sahaja satu pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 yang dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata terbabit di tepi Jalan Kampung Sungai Riset, kira-kira jam 8.50 pagi, 11 Jun lepas.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, dia juga dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara dua minggu atas kesalahan memiliki dua gulung wayar kabel berwarna hitam dalam keretanya tanpa alasan munasabah.
Bagi kesalahan dia didakwa di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang membawa hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500.
Dia melakukan kesalahan pada hari dan tempat yang sama ketika dia ditangkap memiliki senjata berbahaya.
Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.



