ARTIKEL

Datuk Larry Sng Wei Shen

Mimpi Larry Sng menjadi bumiputera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SECARA jujur, saya merupakan salah seorang pengagum dan peminat kepada Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shen. Sejak dari awal pembabitannya dalam politik, saya menyertai ramai dalam kalangan pemerhati, percaya akan potensi beliau.

Naik dalam sebuah parti politik yang didominasi komuniti Dayak; Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum menyertai serpihannya, Parti Rakyat Sarawak (PRS), bakat anak kepada Datuk Sng Chee Hua ini cukup mengagumkan.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, yang juga Ketua Menteri ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pernah secara terbuka membayangkan masa depan politik bekas ADUN Pelagus ini cukup cerah. Cuma langit politiknya selepas itu tidak secerah yang diramalkan.

Banyak pemerhati berpandangan, campur tangan bapanya, seorang veteran politik telah mengganggu kelancaran pilihannya pada waktu itu, sehingga Larry, yang memegang rekod sebagai Timbalan Menteri Kabinet Sarawak termuda, tersingkir daripada arus politik perdana.

Larry yang kemudian mengahwini May Ting, anak kepada konglomerat terkemuka Sarawak, Tan Sri Ting Phek Khiing mula menjawat Ahli Parlimen Julau sejak Mei 2018, apabila menewaskan penyandangnya daripada PRS, Datuk Joseph Gandum Salang. Beliau ketika itu memegang tiket Bebas. Beliau bukan seorang yang mentah dalam politik ketika bertanding pada waktu tersebut.

Sebaliknya, Larry pernah menjadi ADUN Pelagus selama dua penggal, dari September 2001 hingga April 2011. Pernah dilantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, beliau meninggalkan parti itu pada 28 Februari 2021, untuk memberi sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berkuasa.

Larry dilahirkan pada 14 September 1979.

Ibunya, seorang wanita Taiwan, Susan Sng manakala bapanya merupakan Ahli Parlimen Julau dari 1995 hingga 1999, sebelum menjadi ADUN Pelagus dari 1991 ke 2001.

Datuknya, Sng Joo merupakan seorang kapitan di Kapit.

Lulusan London School of Economics (LSE) ini menyertai PBDS pada usia 22 tahun dan secara pantas dipilih bertanding atas tiket PBDS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2001.

Pada 2004, Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melantik beliau sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Perancangan Ekonomi) dan juga Menteri Muda Perindustrian (Perancangan). Pada 2004, Larry menyertai PRS yang ditubuhkan oleh Tan Sri Dr James Jemut Masing berikutan pembatalan pendaftaran PBDS.

Pada PRN Sarawak 2006, beliau mempertahankan kerusi DUN Pelagus atas tiket PRS.

Larry sempat menjawat Timbalan Setiausaha Agung PRS sebelum tersepit di antara pertikaian Dr James dan bapanya Datuk Sng, hingga akhirnya kedua-duanya dipecat dari parti itu pada 2007.

Pada tahun 2009, Abdul Taib melantik Larry portfolio tambahan selaku Menteri Muda Belia (Latihan) biarpun beliau merupakan menteri muda tanpa parti.

Pun begitu, beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding dan mempertahankan kerusi DUN Pelagus pada PRN Sarawak 2011.

Pada 2013, beliau menubuhkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan menjadi Presidennya.

Pada PRU 2013, Larry bertanding sebagai calon SWP di kerusi Parlimen Lubok Antu, tetapi kalah.

Pada April 2016, Larry secara tiba-tiba mengundurkan diri daripada SWP sehingga membatalkan pencalonannya, biarpun telah diumumkan sebelumnya bagi DUN Bukit Goram, kerusi baharu yang dibentuk dalam PRN Sarawak 2016.

Alasannya, beliau berasa tidak dapat benar-benar mentadbir kawasannya tanpa berada dalam BN. Pada PRU 2018 (PRU14), Larry telah bertanding sebagai calon Bebas dan menang di Julau.

Beliau memperoleh 10,105 daripada 18,279 undi, untuk menyingkirkan penyandang kerusi tersebut selama empat penggal, Timbalan Presiden PRS ketika itu, Datuk Joseph Salang Gandum.

Larry menyertai PKR sejurus selepas pilihan raya dan dipilih sebagai Pengerusi MPN PKR Sarawak pada 2020.

Ketika ini, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dari Mei 2018 hingga April 2020.

Pada 21 Disember 2020, beliau mengumumkan peletakan jawatan namun, enam hari kemudian pada 27 Disember, beliau mengumumkan menarik balik keputusannya setelah berbincang dengan presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 28 Februari 2021, beliau sekali lagi mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi MPN PKR Negeri dan pada masa yang sama, keluar daripada parti itu.

Selepas itu, beliau menjadi ahli parlimen bebas sambil menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Larry kemudiannya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang sebenarnya penjenamaan semula kepada parti yang pernah diasaskannya, SWP, dan pada hari ini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Madani.

Nama Larry kembali meledak menjelang sambutan Aidilfitri lalu, apabia secara tiba-tiba Larry, atas kapasitinya sebagai pemimpin PBM mencadangkan supaya masyarakat Cina di Sarawak diberikan status bumiputera.

Alasan beliau, ramai dalam kalangan mereka mempunyai salasilah keluarga di Sarawak yang menjangkau lebih 150 tahun, dengan sebilangan besar daripada mereka juga lahir di Sarawak dan telah berkhidmat, berjuang, berkorban serta menyumbang secara besar-besaran kepada kesejahteraan ekonomi negeri itu.

“Memandangkan keunikan komposisi kaum, kepelbagaian agama dan autonomi tertentu di Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan sekadar sebuah negeri, mungkin para pemimpin Sarawak harus mempertimbangkan untuk memberikan status Bumiputera kepada rakyat Sarawak berketurunan Cina,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook peribadinya.

Larry pada masa yang sama turut membuat perbandingan dengan warga Syria (merujuk kepada Toh Puan Ragad Kurdi Taib) yang berhijrah ke Sarawak dan menjadi Melanau dalam sekelip mata.

“Kita tahu bahawa masyarakat Cina tetap setia menetap di Sarawak untuk jangka panjang.

Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan perkara ini dan menggubalnya menjadi undang-undang demi kebaikan negeri dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Menjelas lanjut dalam komen berikutnya, setelah isu ini meledak di pentas media sosial, Larry menafikan cadangannya itu didorong oleh motif politik perkauman.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perjuangannya berlandaskan usaha mewujudkan masa depan Sarawak yang lebih inklusif melibatkan semua kaum.

“Bagaimana mungkin pandangan saya dianggap bermotifkan politik perkauman sedangkan pengundi Cina di kawasan saya hanya kurang daripada lima peratus?

Tambahan pula, kehadiran dan aspirasi PBM lebih tertumpu kepada kawasan luar bandar yang majoritinya dipimpin oleh pemimpin bumiputera.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee, yang sebelum ini menolak cadangan Larry kerana dasar sedia ada sudah boleh diterima oleh semua kaum.

“Malangnya, Richard mungkin tidak dapat melihat Sarawak pada masa akan datang kerana beliau adalah orang tua.

Saya pula membayangkan sebuah Sarawak untuk semua rakyatnya, di mana kita bersama-sama melakar masa depan negeri ini,” ujarnya.

“Sebagai sebuah negeri, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang kita miliki hari ini.

Sebaliknya, kita perlu bercita-cita tinggi dan berusaha ke arah menjadi sesuatu yang lebih besar dan lebih baik demi generasi akan datang.”

Kenapa Larry berani mengeluarkan kenyataan seperti ini? Adakah beliau berasa terlalu “besar” kerana duduk di meja Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Madani?

Menyebabkan beliau menjadi begitu angkuh menyentuh perkara paling sensitif di Malaysia?

Menuntut perubahan status kepada bumiputera, bukan perkara yang boleh dimain-main dan ditimang sebegitu sahaja.

Rakyat negara ini, seperti juga di negara jiran, sanggup berbunuh jika ini berlaku.

Menyerah status bangsa, umpama menyerah harga diri.

Bermakna segala-gala yang berkait dengannya akan juga tergadai, seperti taraf istimewa dan pemilikan tanah.

Jangan pula beliau berasa terusik, jika masyarakat bumiputera Sarawak mula mempersoalkan latar belakang masyarakat Cina di negeri ini?

Menurut pakar sejarah, Dr Suffian Mansor, migrasi awal masyarakat Cina boleh dikesan dengan kehadiran penduduk Hakka di Sarawak sekitar abad ke-19.

Fakta yang menarik, mereka yang datang ini bukan terus dari China tetapi dari Sambas.

Kehadiran mereka di Sambas adalah berkaitan dengan lombong emas di Kalimantan Barat.

Penambahan Mempawah yang melihat kejayaan membawa masyarakat Cina di Bangka mempengaruhi beliau mengikut jejak yang sama.

Beliau mula membawa penduduk Cina ini ke tanah Borneo pada tahun 1740-an.

Apabila berlaku kehausan dalam deposit emas di Sambas dan Pontianak, masyarakat Cina mula mencari alternatif bagi memulakan kehidupan baharu.

Ketika itu emas mula dilombong di Bau, Sarawak.

Oleh sebab itu, penduduk Cina ini bergerak ke Sarawak untuk mengusahakan perlombongan ini.

Pada Ogos 1850, kehadiran orang Cina ke Sarawak bertambah apabila berlaku kekacauan di Pamangkat. Sekitar tahun 1840-an, orang Cina dari Singapura datang dan berhijrah ke Kuching.

Mereka ini terdiri daripada orang Cina dialek Hokkien, Teochew dan sebahagian kecil Kantonis.

Mereka ini terlibat dalam bidang peniagaan dengan membuka kedai-kedai di bandar Kuching.

Mereka juga membina kuil seperti Tua Pek Kong di tebing Sungai Sarawak.

Pada 1880-an, Rajah Charles Brooke telah mengambil buruh-buruh Cina untuk ditempatkan di hilir Sungai Rajang.

Sekitar 500 buruh Cina telah dibawa ke kawasan tersebut.

Mereka diberi tanah serta elaun bulanan berbentuk beras dan garam.

Penduduk Cina yang tinggal di hilir Rajang juga mula bergerak ke kawasan hulu Rajang.

Hal ini membawa kepada kewujudan 30 orang Cina berada di Sibu pada tahun 1883.

Orang Cina ini juga mula membuka kedai di kawasan pedalaman Sarawak seperti Kanowit dan Kapit. Mereka juga mula terlibat dalam industri pembalakan.

Industri ini membawa kayu belian Sarawak dieksport hingga ke Hong Kong.

Kemunculan masyarakat Cina secara besar-besaran di Rajang mula dilihat dengan usaha Rajah Charles Brooke berunding dengan Wong Nai Siong untuk membawa buruh-buruh Cina dialek Foochow.

Menerusi perjanjian ini, pada tahun 1901, Wong Nai Siong dan Lek Chiong membawa seramai kira-kira 1,000 orang Cina ke Lembah Rajang.

Pihak kerajaan pula berjanji memberi pinjaman sebanyak $30 kepada orang dewasa dan $10 kepada kanak-kanak.

Tambang ke Sarawak juga dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

Orang Cina ini juga akan menerima tidak kurang daripada tiga ekar tanah yang bebas cukai selama 20 tahun, dan akan membayar cukai pintu sebanyak 10 sen seekar.

Tujuan membawa buruh-buruh Foochow ini adalah untuk mengusahakan kawasan penanaman padi.

Namun demikian, usaha ini gagal dijalankan kerana ramai daripada kalangan mereka ini menanam getah apabila tanaman komersial itu diperkenalkan.

Dengan penjelasan di atas, di manakah letaknya status bumiputera masyarakat Cina di Sarawak? Menurut Kamus Dewan, istilah “bumiputera” merujuk kepada anak tulen atau penduduk asal sesebuah negara seperti Melayu, orang Asli, orang Iban dan orang Kadazan.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan tafsiran bagi ‘orang asli’ iaitu orang asli Semenanjung Tanah Melayu, dan ‘orang Melayu’ sebagai individu beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu, dan yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau zuriat seseorang yang sedemikian.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberikan Yang di-Pertuan Agong (Raja Malaysia) tanggungjawab untuk “menjaga kedudukan istimewa ‘Melayu’ dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain” dan seterusnya menentukan cara untuk melakukan ini, seperti mewujudkan kuota untuk masuk ke perkhidmatan awam, biasiswa awam dan pendidikan awam.

Berada di Malaysia atau di Sarawak lebih 100 tahun bukan dapat menukar asal usul seseorang.

Cina tetap Cina dan begitu juga bumiputera. Larry perlu sedar perkara itu sebelum beliau ‘memuntahkan’ kenyataan yang pada pandangan banyak pihak, disengajakan.

Kerana Larry cuba mencari populariti dan mencuri tumpuan, setelah sekian lama PBM tidak mendapat perhatian mana-mana pihak pun.

Bagi masyarakat bumiputera Sarawak, perkara ini adalah cukup serius.

Tan Sri Stephen Kalong Ningkan pernah terjun dari takhtanya sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama, susulan ideanya untuk memberi ruang pemilikan tanah kepada masyarakat Cina, apatah lagi dengan cadangan ‘panas’ Larry ini.

Kerajaan Sarawak, malah Kerajaan Persekutuan, terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg perlu memandang serius akan cubaan seperti ini.

Pihak polis malah wajar melakukan siasatan terperinci, kerana perkara ini amat jelas menyentuh 3R (Agama, Raja dan Kaum).

Ini adalah cara yang halus untuk menyamatarafkan penduduk di negara ini, dan menghapus taraf bumiputera.

Untuk Larry, seandainya anda memeluk Islam sekali pun, ia tidak akan memadam status anda sebagai seorang Cina, biarpun anda fasih berbahasa Melayu dan Iban.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha