KUCHING: “Bapa, ibu tidak melarang malah menyokong dengan menghantar dan mengambil saya ke pusat latihan setiap hari”, kata Farrel Haziq Lariwoo Mirza Chulam Murthada.
Pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya itu antara yang menjadi perhatian selepas berjaya meraih pingat emas pada kategori Bakat 13-14 tahun minimum weight Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024 baru-baru ini.
Anak sulung daripada dua adik-beradik itu teruja dengan sokongan yang diberikan oleh ibu bapanya bagi memastikannya mempunyai latihan cukup menjelang perlawanan.
Katanya, bapa dan datuk antara individu-individu yang menjadi pendorong utamanya untuk mendalami sukan tinju sambil mendedahkan dia sudah lama mengikuti sukan itu dalam kehidupan seharian.
“Bapa selalu pesan dan beri kata semangat kepada saya tentang apa itu sukan tinju dan apa yang perlu dilakukan untuk menjadi petinju yang hebat.
“Datuk pula menjadi individu yang selalu membawa saya ke tempat pertandingan tinju, di situ saya banyak terdedah dengan sukan tinju ini,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Petinju muda yang mengidolakan Gervonta Davis itu turut mendedahkan dia mula berlatih secara serius pada awal tahun 2023 dalam sukan tinju di pusat latihan Fred Victoria Mandagi, Matang.
Bapanya, Mirza Chulam Murtadha Rahman, 38, menegaskan Farrel dihantar ke pusat latihan itu lima hari seminggu iaitu pada Isnin hingga Jumaat.

Menurutnya, usaha untuk memfokuskan anaknya kepada latihan tinju bermula selepas melihat anaknya mempunyai minat serta komited untuk menceburi bidang terbabit.
“Kami memang menghantar dia setiap hari untuk berlatih pada sebelah malam selepas masa persekolahannya kecuali pada hujung minggu.
“Sekiranya saya ada cuti pada hujung minggu, saya akan membawanya joging untuk memantapkan staminanya,” katanya.
Jelas Mirza, minat anaknya mulai terlihat selepas Farrel sendiri menyatakan keinginan untuk menyertai sukan tinju dengan lebih serius dan menaruh impian untuk memasuki pertandingan tinju suatu masa kelak.



