ARTIKEL

TAHNIAH… Roland merakam kenangan bersama johan pertandingan SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 daripada kumpulan Ultra Five terdiri daripada pelajar SMK Chung Hua Miri dan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.

Minat pelajar terhadap semikonduktor terus meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyertaan memberangsangkan oleh seramai 575 pelajar sekolah menengah dari seluruh Sarawak dalam SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 membuktikan kesediaan generasi muda meneroka bidang teknologi tinggi apabila jumlah itu mengatasi 59 penyertaan daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, secara keseluruhan program itu menerima 634 penyertaan daripada 64 institusi di seluruh negeri.

Katanya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pembangunan modal insan dalam industri semikonduktor di Sarawak.

RAKAM KENANGAN… Roland bergambar bersama pemenang SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

“Penyertaan luar jangka daripada pelajar sekolah menengah turut menunjukkan kesediaan generasi muda untuk meneroka bidang teknologi tinggi, selari dengan usaha kerajaan negeri dalam mencungkil bakat tempatan sejak di bangku sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Roland berkata perkembangan ini turut menyokong aspirasi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang menekankan pembangunan bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan industri strategik.

Dalam konteks pembangunan ekonomi negeri, katanya, keperluan terhadap tenaga mahir dalam bidang semikonduktor semakin kritikal.

“Ini kerana cip semikonduktor merupakan komponen asas kepada pelbagai sektor yang sedang diperkukuh Sarawak, termasuk aeroangkasa, teknologi satelit, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

“Sehubungan itu, penganjuran hackathon ini dilihat sebagai platform awal untuk membimbing serta melahirkan bakat tempatan yang berpotensi menjadi pemacu transformasi Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan inovasi serta teknologi,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi memastikan pertandingan lebih relevan dengan keperluan industri sebenar, format pertandingan turut diperbaharui.

Katanya, seramai 58 finalis daripada 15 pasukan diwajibkan membentuk usaha sama (JV) yang menggabungkan dua pelajar sekolah menengah dan dua pelajar universiti dalam setiap pasukan.

“Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja menggalakkan pembelajaran rakan sebaya, malah memberi pendedahan kepada peserta tentang budaya kerja profesional melalui penyelesaian masalah sebenar yang diamalkan dalam industri teknologi.

“Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta dianjurkan oleh SMD Semiconductor ini turut menekankan keperluan sistem pendidikan untuk berkembang melangkaui pembelajaran teori di bilik darjah,” katanya.

Menurutnya, pelajar perlu diberi peluang mengaplikasikan ilmu secara praktikal, berani mencuba dan tidak gentar menghadapi kegagalan kerana setiap pengalaman merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Sebagai galakan, pihak penganjur bersama rakan strategik menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 kepada juara, RM5,000 kepada naib juara dan RM3,000 kepada pemenang tempat ketiga.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU