Minta tolong garu belakang badan sebelum rogol adik tiri

KUCHING: Seorang kelindan lori yang mengaku melakukan sumbang mahram terhadap adik tirinya yang masih bawah umur dikenakan hukuman 10 tahun penjara dan lima sebatan rotan semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan mengenakan hukuman itu terhadap pemuda berusia 22 tahun setelah meneliti pengakuannya dan rayuan di samping menimbangkan kepentingan awam dan kes yang menjijikkan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada 10 tahun penjara dan tidak me- lebihi 30 tahun dan sebatan.

Tertuduh melakukan sumbang mahram berkenaan terhadap mangsa berumur 13 tahun di sebuah rumah di Batu 17 Siburan antara 1 dan 31 Mei lalu.

Menurut fakta kes, mangsa melaporkan pada 17 Julai lalu bahawa dia dirogol abang tirinya di rumah mereka pada Mei lalu ketika mangsa tinggal berseorangan bersama tertuduh sementara ahli keluarga mereka lain sedang keluar.

Terdahulu, tertuduh meminta mangsa menggaru belakang badannya ketika mereka berdua berada di ruang tamu rumah.

Ketika berbuat begitu, tertuduh membuka pakaian mangsa dan memaksa mangsa melakukan persetubuhan tanpa kerelaannya.

Selepas membuat laporan polis, mangsa dirujuk dan diperiksa di hospital dan didapati terdapat koyakan pada kemaluannya.

Tertuduh kemudiannya ditahan polis di rumah mereka pada jam 6.50 petang di Siburan.

Dalam rayuannya, tertuduh menyesali perbuatannya terhadap mangsa dan mengharapkan hukuman lebih ringan dikenakan setelah membuat pengakuan itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak