Minuman keras, rokok tanpa cukai berjaya dirampas di Serian

KUCHING: Sejumlah bir dan rokok tanpa cukai kastam bernilai RM95,067.72 dipercayai stok persediaan Hari Natal berjaya dirampas dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching di sebuah premis berhampiran Serian, Isnin lalu.B

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata rampasan tersebut hasil kolaborasi antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabatnya di Kuching.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati satu Banner promosi bertulis “STOCK BARU SAMPAI.
HARGA TERENDAH DI PASARAN” tergantung di depan premis dipercayai untuk menarik pelanggan dan pembeli sempena perayaan Krismas.

“Hasil pemeriksaan pasukan telah menjumpai 5,201.58 liter bir dan 17,952 batang rokok pelbagai jenama tidak bersetem kastam, dipercayai merupakan barang yang tidak lulus cukai kastam.

“Kesemua barangan tersebut yang bernilai RM162,982.05 termasuk cukai telah disita dan dibawa stor Penguatkuasaan Kuching untuk tindakan siasatan lanjut dilakukan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, hasil serbuan turut menahan seorang pekerja yang berada di premis berkenaan untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dikenakan penalti atas kesalahan membuat akuan tidak betul dan
memalsukan dokumen,” tegasnya.

Suara Sarawak