SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan kerana didapati menyimpan minyak diesel tanpa dokumen yang sah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan dalam Op Kontraban yang dijalankan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sibu dalam satu serbuan ke atas sebuah stor di Lot 115, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini.

“Pada 27 Mac (hari ini) lebih kurang jam 12 tengahari, pasukan operasi telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas stor tersebut.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan itu, suspek ditahan dan turut dirampas minyak diesel berjumlah 11,950 liter dan peralatan yang digunakan,” katanya.
Zulkipli mendedahkan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM59,100.
Tegasnya, kesemua rampasan termasuk suspek yang ditangkap kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.



