KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak merancang untuk menjadikan Miri sebagai pusat pemprosesan utama pengeluaran produk nanas tempatan dalam usaha mencapai sasaran sebagai negeri pengeluaran utama nanas negara pada masa akan datang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, usaha bagi merealisasikan pusat menerusi penubuhan sebuah kilang pemprosesan nanas.
“Kilang ini bukan sahaja menjadi pemangkin perubahan landskap industri nanas di Sarawak, malah ia akan melengkapkan ekosistem industri dengan menyediakan jaminan pasaran kepada pengeluar.
“Inilah simbol komitmen kita untuk membina sebuah industri nanas Sarawak yang bukan sahaja lebih moden dan berdaya saing, tetapi memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Sirai Daha pada program Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, hari ini.
Menurutnya, industri nanas di Sarawak mengalami perkembangan yang pesat, seiring dengan usaha memperkembangkan ladang nanas sebesar 20,000 hektar menjelang hujung 2030.
Seiring dengan usaha itu, Rundi menegaskan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sarawak akan melaksanakan tiga pakej utama utama sebagai pendekatan strategik bersasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK Ke-13).
Katanya, ketiga-tiga pakej itu merangkumi pakej insentif asas untuk pekebun kecil, pakej insentif kelompok bagi kelompok sedia ada dan baharu serta pakej komersial.
Tegasnya, rancangan tersebut bertujuan meningkatkan sasaran penyertaan secara lebih agresif oleh individu dan syarikat berkaitan khususnya di negeri ini.
“Dengan adanya dasar inklusif ini, LPNM Sarawak dijangka akan menerima peruntukan lebih besar di bawah RMK-13, sekali gus membolehkan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh rantaian nilai daripada pengeluaran, pemprosesan hingga kepada pemasaran,”katanya.






