MIRI: Operasi Bus Signal Priority (BSP) bagi Perkhidmatan Bas Pintar menjadikan Miri sebagai bandar perintis pelaksanaan sistem keutamaan isyarat bas pertama di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata ini merupakan pencapaian penting dalam agenda transformasi pengangkutan awam Kerajaan Sarawak.
“Inisiatif berteraskan teknologi pintar ini selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh mobiliti bandar, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menyokong pembangunan mampan.
“Kita sedar kesesakan lalu lintas merupakan cabaran global yang menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup.
“Justeru, pengangkutan awam perlu menjadi tunjang kepada sistem mobiliti bandar yang cekap dan inklusif,” katanya pada majlis pelancaran itu hari ini.
Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin memberitahu pelaksanaan BSP membolehkan bas mendapat keutamaan di persimpangan lampu isyarat.
Beliau menjelaskan sistem pintar itu akan mengurangkan masa menunggu, melancarkan aliran perjalanan dan meningkatkan ketepatan jadual perkhidmatan bas.
Selain itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak sebelum ini telah memperkenalkan 14 unit bas pintar di Miri, membuka Terminal Bas Miri Sentral serta melancarkan Aplikasi Sarawak Smart Transport.
Tambahnya, langkah itu bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat perkhidmatan pengangkutan awam.



