ARTIKEL

Misi bangkit semula 2028

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBANYAK 41 pingat emas yang diraih kontinjen Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mungkin jauh daripada sasaran 75 emas, namun pencapaian itu tetap menjadi asas penting untuk menyusun semula kekuatan bagi memburu kejuaraan pada edisi akan datang.

Sarawak menamatkan saingan di tempat keempat dengan kutipan 41 emas, 40 perak dan 62 gangsa dengan keseluruhannya sebanyak 143 pingat.

Selangor muncul juara dengan 101 emas, diikuti Wilayah Persekutuan dengan 51 emas dan Terengganu 43 emas.

Keputusan itu sememangnya mengecewakan jika diukur berdasarkan sasaran awal apatah lagi sebelum temasya, Sarawak meletakkan sasaran sekurangkurangnya 75 emas dengan harapan jumlah berkenaan mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi ketika menjadi tuan rumah pada 2024.

Namun, angka 41 emas tidak harus dilihat semata-mata sebagai kegagalan.

Sebaliknya, ia perlu menjadi bahan penting untuk menilai kekuatan dan kelemahan keseluruhan program sukan Sarawak.

Emas pelbagai acara

Satu perkara positif daripada pencapaian di Selangor ialah sumbangan emas Sarawak datang daripada pelbagai jenis sukan.

Terjun muncul penyumbang terbesar dengan lapan emas, manakala taekwondo menyumbang empat emas.

Memanah dan boling tenpin pula masing-masing menyumbang tiga emas.

Selain itu, menembak, pelayaran, berbasikal trek, polo air dan olahraga turut menghasilkan lebih daripada satu emas.

Sarawak juga mendapat emas menerusi renang, karate, wushu, gimnastik artistik, lawan pedang, Muay Thai, berbasikal jalan raya, e-sukan, petanque, silambam, bola tampar, judo dan pingpong.

Senarai itu menunjukkan kekuatan Sarawak sebenarnya masih luas.

Lebih menarik, terdapat emas yang hadir daripada acara yang tidak menjadi sandaran utama sebelum temasya.

Situasi itu membuktikan kejayaan dalam sukan bukan sesuatu yang boleh dijangka, hanya berdasarkan prestasi terdahulu.

Malah, sebelum temasya bermula, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berharap setiap sukan yang disertai Sarawak mampu menyumbang emas, termasuk daripada acara yang tidak dijangka. Harapan itu akhirnya diterjemahkan melalui beberapa kejayaan di luar jangkaan.

Antaranya polo air lelaki dan wanita yang masing-masing berjaya menyumbang emas.

Abdul Karim sendiri mengakui pencapaian menyeluruh Sarawak menjadi antara perkara positif yang boleh dibawa pulang dari Selangor.

Terlepas sasaran

Bagaimanapun, di sebalik 41 emas, terdapat juga beberapa acara yang gagal menyumbang seperti diharapkan.

Inilah bahagian yang perlu diberikan perhatian paling serius.

Sasaran 75 emas bermakna Sarawak memerlukan sumbangan besar daripada pelbagai acara.

Apabila beberapa sukan gagal menukar peluang kepada emas, jumlah keseluruhan akhirnya terjejas dengan ketara.

Perkara itu bukan semestinya berpunca daripada kelemahan atlet semata-mata tetapi faktor persiapan, kecederaan, pengalaman pertandingan, perubahan senarai acara, kekuatan lawan dan tahap kejurulatihan, semuanya perlu diambil kira.

Malah, sebelum SUKMA 2026 bermula, terdapat acara tertentu yang terpaksa digugurkan kerana tidak memenuhi syarat minimum penyertaan. Perubahan seperti itu turut memberi kesan kepada perancangan kutipan pingat kontinjen.

Justeru, bedah siasat yang bakal dilakukan perlu melihat setiap sukan secara terperinci.

Sukan yang berjaya menghasilkan emas perlu diperkukuhkan, manakala sukan yang gagal mencapai sasaran perlu dikenal pasti puncanya.

Abdul Karim turut menegaskan, proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan daripada pelbagai aspek.

“Kita akan mengadakan bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan daripada pelbagai sudut.

Apa yang pasti, pihak kita juga perlu menunggu laporan daripada kesemua persatuan sukan terlibat,” ujar beliau.

Tegas Abdul Karim, langkah tersebut penting sebagai penanda aras awal dalam merangka pelan untuk menyediakan kontinjen yang lebih mantap bagi menghadapi SUKMA 2028 yang akan berlangsung di negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan.

Perbandingan dengan SUKMA 2024 memperlihatkan betapa besarnya cabaran yang perlu dihadapi Sarawak.

Ketika menjadi tuan rumah dua tahun lalu, Sarawak muncul juara dengan 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, keseluruhan 201 pingat.

Di Selangor, kutipan emas merosot kepada 41, iaitu kurang 35 emas.

Jumlah keseluruhan pingat juga menurun daripada 201 kepada 143.

Bagaimanpun, perbandingan itu perlu dibuat secara adil.

Faktor tuan rumah memberikan kelebihan tertentu, termasuk suasana sokongan penyokong, kefahaman terhadap venue dan keadaan pertandingan serta persiapan yang boleh dirancang dalam persekitaran sendiri.

Saingan sengit

Di Selangor, Sarawak berdepan saingan sengit daripada negerinegeri yang turut memperkukuh program pembangunan atlet masing-masing.

Lantas, Sarawak akhirnya hanya ketinggalan dua emas di belakang Terengganu menjelang hari terakhir sekali gus gagal memintas negeri Pantai Timur itu untuk menduduki tempat ketiga.

Kini, persoalan lebih besar ialah ke mana arah Sarawak selepas SUKMA 2026?

Jawapannya tidak boleh sekadar menunggu dua tahun lagi.

Kerja memburu semula kejuaraan perlu bermula sekarang.

Sarawak harus mamastikan sukan yang mempunyai potensi tinggi menghasilkan banyak emas.

Terjun, taekwondo, memanah, boling tenpin dan beberapa acara lain yang terbukti mampu menyumbang emas harus diberi perhatian berterusan.

Strategi itu penting kerana sasaran 75 emas memerlukan lebih daripada sekadar beberapa juara individu kerana jika seorang atlet gagal atau mengalami kecederaan, perlu ada pelapis yang mampu mengambil alih.

Atlet muda pelaburan utama

Satu lagi perkara penting ialah kesinambungan atlet.

Sarawak perlu memastikan atlet muda yang menyerlah di Selangor tidak hilang selepas tamat SUKMA 2026.

Mereka perlu diberikan laluan untuk terus berkembang ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada masa sama, atlet yang bakal melepasi usia SUKMA perlu dibantu untuk terus menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya. Di sinilah peranan jurulatih menjadi amat penting.

Dalam menilai kegagalan mencapai 75 emas, kejayaan atlet juga tidak boleh dipadam begitu sahaja.

Setiap pingat emas mempunyai cerita tersendiri.

Ada atlet yang mempertahankan prestasi, ada yang muncul sebagai juara baharu dan ada yang mencipta kejutan.

Sumbangan 41 emas itu adalah hasil pengorbanan atlet, jurulatih, pegawai dan keluarga yang menyokong mereka.

Semangat perlu dikekalkan

Kegagalan mencapai sasaran tidak seharusnya memecahbelahkan kontinjen, sebaliknya menjadi pencetus untuk bekerja lebih keras lebih-lebih lagi Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam SUKMA.

Kehilangan kejuaraan bukan bermakna Sarawak kehilangan kekuatan.

Tetapi, 41 emas di Selangor membuktikan masih ada asas kukuh untuk dibangunkan.

Misi 75 emas mungkin tidak tertunai di Selangor, tetapi perjuangan Sarawak belum berakhir. 41 emas yang dibawa pulang bukan noktah kepada perjalanan sukan Sarawak.

Daripada 41, Sarawak perlu kembali meningkat kepada 50, 60 dan akhirnya mencabar semula angka 75 emas.

Mahkota SUKMA mungkin terlepas kali ini, tetapi dengan perancangan rapi, pembangunan atlet yang konsisten dan keberanian melakukan perubahan, Sarawak masih mempunyai peluang untuk merampas semula kejuaraan pada edisi akan datang.

Yang penting, kegagalan di Selangor jangan hanya dikenang sebagai ketidakupayaan mencapai sasaran.

Biarlah ia menjadi titik perubahan kepada sebuah misi baharu — membina semula kekuatan, melahirkan lebih ramai juara dan membawa kembali mahkota SUKMA ke Sarawak dari Bumi Mak Yong, Kelantan 2028 nanti.

Yang pasti, tahun 2028, merupakan tahun untuk Sarawak bangkit semula. Sejak SUKMA diperkenal pada 1986, Sarawak telah pun juara empat kali, pada 1990, 1992, 1994 dan 2024.

Sejak itu, ramai atlet Sarawak yang mengukir nama di persada negara, seperti Watson Nyambek, Pandelela Rinong, Wong Tee Kui, Grace Wong Xiu Mei, dan ramai lagi. 

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU