TATAU: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) komited memperkasakan pendidikan luar bandar menerusi penganjuran Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tau, Sungai Anap, di sini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kakus.
Beliau menyifatkan program ini sebagai bukti keprihatinan korporat MLNG terhadap masyarakat setempat, serta memperkukuh kerjasama antara sektor korporat dengan komuniti.
Tambah beliau, SK Nanga Tau merupakan antara sekolah yang terpilih menerima manfaat program ini pada 2024, sejajar dengan matlamat untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar.


Antara sumbangan yang disalurkan oleh MLNG kepada sekolah tersebut termasuklah TV pintar, sistem siar raya, lokar, dan kerusi, yang diharapkan dapat membantu meningkatkan mutu pembelajaran serta meringankan beban pihak sekolah.
Beliau turut memuji usaha berterusan MLNG dalam menyumbang kepada sekolah-sekolah luar bandar lain seperti di Roban, Betong, dan Dalat.



