Fleksibel dari segi masa dan kurang tekanan, menjadi sebab anak muda dari Kampung Astana, Kuching ini memilih pekerjaan sebagai tukang kasut.
Mohd Hikmah Afendi Yasin Afendi, 23, mengakui pekerjaan sebagai tukang kasut tidak diminati oleh golongan muda kerana dianggap tidak memberi pendapatan lumayan.
Bagaimanapun, si tukang kasut jalanan ini juga mampu menjimatkan kos sehingga ratusan ringgit dengan membaiki semula kasut rosak daripada membeli yang baharu.
“Beruntung sebenarnya jadi tukang kasut kerana perniagaan ini tidak memerlukan modal permulaan yang besar, tapi mampu memberi pulangan lumayan.
“Saya pernah cuba pelbagai jenis pekerjaan sebelum ini, namun kerjaya sebagai tukang kasut lebih sebati dengan jiwa.
Saya juga bebas bekerja tanpa arahan sesiapa,” katanya yang lebih gemar bekerja sendiri.
Malah, anak keempat daripada enam adik-beradik ini juga mampu membuktikan kerjaya tukang kasut mampu memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Bercerita permulaan melibatkan diri sebagai tukang kasut, Hikmah memberitahu dia belajar membaiki kasut daripada kenalan di MJC, Batu Kawa.
MINAT
Bertekad mendalami kemahiran sebagai tukang kasut dan bercadang untuk berniaga sendiri setahun lalu mencetus inspirasi anak muda ini terus cekal sebagai tukang kasut.
“Saya mengambil masa sebulan untuk belajar menjahit kasut dan sebulan lagi sebagai tempoh percubaan membaiki kasut pelanggan.
“Paling banyak kasut saya pernah baiki kira-kira 10 pasang memandangkan kedai masih baharu, jadi kebanyakan orang ramai belum tahu keberadaan kedai saya,” katanya kepada Suara Sarawak.
Sekiranya seseorang mempunyai minat mendalam, penguasaan membaiki kasut tidak memerlukan masa yang lama kerana kebanyakan peralatan boleh dibuat sendiri kecuali beberapa peralatan lain seperti pembuat alur benang.
Tangan dan jarinya bagaikan kebal terkena jarum kerana ia lumrah sebagai tukang kasut.
Menjadi tukang kasut menurutnya bukan semudah yang disangka kerana perlu tekun menghasilkan kerja pembaikan bermutu dan memuaskan hati pelanggan.
“Pada pandangan kasar, kerja ini nampak mudah tapi sebenarnya perlu minat dan sabar melayan kerenah pelanggan,” katanya.
Setakat ini jelasnya, dia selesa melakukan kerja sebagai tukang kasut dan tidak mahu memikirkan pandangan orang lain ke atas apa-apa dilakukannya.
Hikmah bersedia mencurahkan ilmu kemahiran tersebut kepada sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya.
Sementara itu, rata-rata pelanggan berpuas hati dan yakin dengan kemampuan Hikmah.
“Harga yang ditetapkan untuk membaiki kasut pula serendah RM10 hingga RM35 bergantung kepada tahap kesukaran menjahit kasut tersebut,” ujarnya.
BANTUAN KERAJAAN
Selain itu, kongsinya dia pernah mendapat bantuan kewangan daripada seorang ahli politik yang digunakan untuk membeli peralatan kerja.
“Nasihat untuk anak muda di luar sana, jangan terlalu memilih kerja sehingga tidak mempunyai sumber pendapatan dan menyusahkan orang tua.
“Asalkan rajin dan pekerjaan halal, ia memadai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hikmah memberitahu menjelang musim perayaan bagaikan durian runtuh baginya apabila menerima lebih banyak tempahan berbanding hari biasa.
“Ekonomi tidak menentu menyebabkan ramai pelanggan memilih untuk membaiki kasut berbanding membeli yang baharu,” katanya mengakui ramai yang terkesan.
Untuk maklumat lanjut, boleh terus hubungi Hikmah di talian 017-701 5131 atau Facebook Jenglot Rayau.