ARTIKEL

Mooncake Halal Syikin perkenal perisa baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUIH bulan, sejenis manisan tradisional kaum Cina bagi meraikan perayaan pertengahan musim luruh sering kali dihasilkan dalam empat perisa dominan di pasaran iaitu kacang merah, pes biji teratai, kuning telur masin dan campuran kekacang.

Namun, pasangan suami isteri, Nur Asyikin Moham Jafar, 30, dan Ruzaini Azri Rosdi, 31, dari Tapah, Perak yang menjalankan perniagaan kuih bulan sejak 2019 berani melakukan inovasi dengan menampilkan pelbagai perisa baharu yang jarang didapati di pasaran.

Lebih menarik, kuih bulan yang dihasilkan menerusi jenama Mooncake Halal Syikin itu mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang kurang manis, rendah kandungan lemak dan bebas bahan pengawet.

Nur Asyikin berkata pihaknya menyediakan lebih 10 perisa tradisional dan moden, antaranya pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona, teh hijau dengan karamel dan coklat dengan beri biru, namun antara perisa yang sering mendapat tempahan tinggi daripada pelanggan ialah coklat gelap, coklat karamel dan cip coklat.

“Semua kuih bulan itu ditawarkan dalam enam set dengan setiap perisa berbeza bermula daripada RM33 hingga RM40.

“Selain itu, kuih bulan bersaiz mini seberat 25 gram ditawarkan pada harga RM28 bagi satu balang kaca yang mempunyai 15 biji kuih dan saiz besar 100 gram, yang berharga RM17 sebiji.

“Setakat ini, kuih bulan kami bukan sahaja digemari pelanggan Muslim, malah pelanggan Cina dan India yang mengakui keenakannya sekali gus menunjukkan ada pasaran besar untuk kuih bulan halal,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Nur Asyikin turut menerima tempahan beg cenderahati berisi kuih bulan untuk majlis perkahwinan atau sebarang majlis lain dengan harga RM4 hingga RM5 bergantung kepada perisa, sekiranya pelanggan menempah lebih 500 biji ke atas.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini yang menjalankan perrniagaan itu di sebuah bengkel bersebelahan dengan rumah ibu mentuanya di Tapah berkata, kuih bulan yang dihasilkannya menggunakan minyak kacang bagi memastikan ia halal dimakan.

“Benda paling rumit ialah semasa membuat kulitnya.

Untuk membancuh kulit, kita perlukan golden syrup yang dibuat sendiri sebelum dicampurkan dengan tepung untuk membentuk doh.

“Saya membakar kuih bulan hingga tiga kali masing-masing dalam tempoh 12 minit agar hasilnya cantik dan tahan lama,” katanya yang mampu menghasilkan 500 biji kuih bulan dalam sehari.

Bagaimanapun, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dari Universiti Teknologi Mara ini mengakui permintaan terhadap kuih bulan tidaklah serancak sepanjang tahun, tetapi mula menjadi perhatian setiap kali perayaan kuih bulan pada akhir Ogos hingga September, selain ketika perayaan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun memang ada kuih bulan yang halal di pasaran, jumlahnya masih kecil dan agak sukar dicari terutama di kawasan tertentu.

“Oleh sebab itulah, saya dan suami nekad memilih bidang ini,” katanya yang merancang mengeluarkan perisa pistasio dan tiramisu pada masa akan datang.

Nur Asyikin bersyukur kerana menerima sokongan sepenuhnya daripada suami dan keluarga yang bukan saja memberikan semangat, malah turut serta membantunya menyediakan kuih bulan.

“Ibu mentua ialah tulang belakang kami.

Dia bukan sekadar memberi idea untuk mengusahakan perniagaan ini tetapi turut menurunkan ilmu membuat kuih bulan mengikut resipi asli kuih itu,” katanya yang berhasrat membuka sebuah kedai di Ipoh, Perak dalam tempoh dua tahun lagi.

LAIN-LAIN BERITA

Orchidmas sasar eksport orkid

KUCHING: Orchidmas International LLC, anak Syarikat Orchidmas Sdn Bhd yang berpangkalan di Putrajaya menyasarkan untuk mengeksport orkid Malaysia ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE),

TNB guna kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya

BERITA TERBARU