KUCHING: Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) menyasarkan usaha memupuk kesedaran undang-undang, keyakinan diri dan integriti dalam kalangan pelajar menerusi pertandingan Mahkamah Moot Syariah.
Ketua Hakim Syarie Sarawak Datuk Awang Suhaili Ledi berkata, pertandingan berkenaan memberi pendedahan berharga kepada peserta mengenai prosiding undang-undang Syariah, penyelidikan dan advokasi.
“Mahkamah Moot Syariah bukan sekadar pertandingan mengenai siapa yang paling petah bercakap, sebaliknya berkaitan fakta, undang-undang, autoriti dan pemikiran secara logik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutupan Pertandingan Mahkamah Syariah Piala Ketua Hakim Syarie Sarawak 2026 di Bilik Seminar Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak di sini, hari ini.
Awang Suhaili berkata, advokasi yang baik perlu disertai integriti, tanggungjawab dan komitmen untuk mencari kebenaran, bukannya hanya memberi tumpuan kepada usaha memenangi hujah.
“Pertandingan selama dua hari ini mencabar pelajar meneliti fakta kes, memahami isu undang-undang, merangka hujah serta memberikan respons secara tenang di hadapan hakim.
“Pada tahun ini, peserta tidak menerima bimbingan daripada peguam syarie, sekali gus memberi peluang lebih besar kepada mereka untuk menguji kebolehan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah positif kerana pelajar perlu diberi ruang untuk membina keberanian, disiplin intelektual, kerja berpasukan dan keyakinan melalui pengalaman praktikal.
“Pertandingan yang pertama kali diadakan pada 2024 sebelum kembali dianjurkan pada tahun ini bertujuan meningkatkan minat golongan muda terhadap undang-undang Syariah.
“JKSS mahu pelajar mendapat pendedahan awal mengenai sistem kehakiman Syariah selain membangunkan kemahiran komunikasi, advokasi dan pemikiran kritis,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kehakiman memerlukan ilmu, disiplin, ketepatan dan integriti, dan ini antara nilai yang ingin disemai menerusi program ini.
SMKA Tun Ahmad Zaidi muncul juara pertandingan 2026, manakala SMKA Matang 2 di tempat kedua, sementara SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud masing-masing menerima hadiah saguhati.
SMKA Tun Ahmad Zaidi turut memenangi anugerah Penyampaian Bertulis Terbaik, manakala pelajarnya Elliessya Qu Qhaierra Junaidi menerima Anugerah Khas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak bagi Penyampaian Lisan Terbaik.
Awang Suhaili berkata, peserta tidak seharusnya mengukur kejayaan semata-mata berdasarkan keputusan pertandingan kerana ilmu, keyakinan dan kefahaman mengenai keadilan merupakan hasil yang lebih bernilai.
“Kemahiran yang diperoleh menerusi pertandingan itu termasuk menilai fakta, mengemukakan hujah secara berhemah dan mempertahankan pendirian berdasarkan bukti.
“Semua ini akan memberi manfaat kepada pelajar tanpa mengira bidang kerjaya mereka pada masa depan,” katanya.
Awang Suhaili turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Sarawak, sekolah yang mengambil bahagian, guru, hakim, pihak penganjur serta warga JKSS atas sokongan terhadap program berkenaan.
“Saya berharap pertandingan ini akan terus berkembang sebagai platform strategik yang menghubungkan institusi kehakiman Syariah dengan sektor pendidikan.
“Kehakiman tidak seharusnya dilihat hanya sebagai institusi yang menjadi tempat orang ramai mendapatkan penyelesaian apabila berlaku pertikaian, tetapi juga sebagai platform pendidikan undang-undang,” katanya.
Katanya, sistem kehakiman yang kukuh bukan hanya bergantung kepada bangunan, undang-undang atau teknologi, tetapi turut memerlukan individu berpengetahuan, amanah dan berani yang komited dalam menegakkan keadilan.





