KUCHING: Pelantikan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan merupakan satu tanggungjawab besar dalam menggalas amanah demi kepentingan belia dan pembangunan sukan negara, kata Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Beliau berkata, fokus utama pada peringkat awal ini adalah untuk memahami sepenuhnya peranan serta keperluan kementerian termasuk menyokong usaha sedia ada dalam pembangunan belia dan sukan khususnya di peringkat akar umbi.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan, serta kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan pandangan sepanjang perjalanan saya selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mordi menambah, sebagai wakil rakyat, beliau menyedari keperluan untuk terus menimba ilmu bagi memantapkan penyampaian perkhidmatannya.
“Pengalaman sebagai wakil rakyat khususnya di kawasan luar bandar akan menjadi panduan dalam menyumbang secara berperingkat dan berlandaskan realiti di lapangan.
“Pada masa yang sama, saya akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Mas Gading dengan penuh komitmen.
“Khidmat kepada rakyat serta usaha memperjuangkan keperluan pembangunan masyarakat setempat akan kekal menjadi keutamaan selaras dengan peranan saya sebagai wakil rakyat di Parlimen,” tegas beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.
Mordi yang dilahirkan pada 20 Januari 1985 mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa sebelum melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar tabloid tempatan dalam tempoh singkat.
Beliau memulakan kerjaya politik dengan menyertai DAP pada 2011 dan pernah berkhidmat sebagai pembantu khas kepada Chong Chieng Jen yang ketika itu merupakan Naib Ketua DAP serta Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri Sarawak.
Mordi pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen Mas Gading pada 2013 namun tidak berjaya. Beliau kemudian dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri DAP Sarawak pada 2015 sebelum bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada 2016.
Kejayaan beliau bermula pada PRU14 apabila mencipta kejutan memenangi kerusi Parlimen Mas Gading dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Anthony Nogeh Gumbek dalam pertandingan satu lawan satu. Mordi memperoleh 12,771 undi dengan majoriti 3,024 undi.
Susulan kemenangan itu, beliau dilantik sebagai Naib Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri DAP Sarawak pada November 2018.
Seterusnya, pada PRU-15, Mordi sekali lagi mengekalkan kemenangan dengan meraih 17,274 undi mengalahkan calon GPS, Lidang Disen dengan 11,794.
Kini, beliau terus mengukuhkan kedudukan dalam arena politik negara melalui pelantikan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media khas rombakan Kabinet Kerajaan MADANI hari ini.



