KUCHING: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol menggesa tindakan tegas dan proaktif diambil semua pihak bagi memastikan keselamatan pelajar di sekolah sentiasa terjamin susulan kes buli membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Bau.
Ahli Parlimen Mas Gading itu berkata, insiden yang kini disiasat polis mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan perlu dipandang serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar di institusi pendidikan.
“Saya amat dukacita apabila dimaklumkan mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal selepas ditolak sehingga terkena struktur besi papan putih, malah sebelum itu dikatakan beberapa kali menjadi mangsa gangguan fizikal dan emosi termasuk ditarik rambut.
“Saya mendoakan agar mangsa segera sembuh sepenuhnya, bukan sahaja daripada kecederaan fizikal tetapi juga kesan trauma psikologi yang dialaminya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mordi turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman serta pasukannya atas tindakan pantas membuka kertas siasatan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, pihaknya menaruh keyakinan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus bagi memastikan keadilan kepada mangsa.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak pengurusan sekolah memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa aduan mengenai gangguan yang dilakukan suspek terhadap mangsa telah dikemukakan kira-kira dua minggu sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan mengapa tindakan pencegahan yang lebih awal dan berkesan tidak dilaksanakan sehingga insiden tersebut mengakibatkan kecederaan fizikal.
“Perkara ini amat membimbangkan. Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu, bukannya tempat yang menimbulkan rasa takut atau ancaman,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan tiada mana-mana pelajar sepatutnya berasa takut untuk hadir ke sekolah atau berdiam diri daripada melaporkan kejadian buli kerana bimbang menerima tindakan balas.
Selain itu, beliau menyeru ibu bapa supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta memperkukuh komunikasi dengan pihak sekolah dan agensi berkaitan bagi membendung budaya buli sebelum menjadi lebih serius.
Katanya, Pejabat Ahli Parlimen Mas Gading akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan bersedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperkasakan program kesedaran antibuli dan sokongan emosi di sekolah.
“Buli dalam apa jua bentuk, sama ada fizikal, lisan mahupun emosi, tidak mempunyai tempat di Mas Gading. Jangan sesekali berkompromi dengan keselamatan anak-anak kita,” ujarnya.


