KUCHING: Program Rakan Litar – Moto Cub Track Day akan diperluas dan diteruskan setiap tahun sebagai platform membimbing lebih ramai belia menceburi sukan permotoran secara selamat, berdisiplin dan teratur.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Sarawak (SMA), Datuk Ahmad Ibrahim berkata, program seumpama itu mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana bukan sahaja memberi pengalaman kepada peserta, malah boleh menjadi saluran pembangunan bakat baharu dalam sukan permotoran.

“Insya-Allah, program seperti ini akan dibuat setiap tahun dan tidak akan berhenti di sini.
Selagi ada peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita akan terus bekerjasama untuk menjayakannya.

“Saya percaya program ini akan terus membesar dan menarik lebih ramai peserta pada masa akan datang,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Rakan Litar – Moto Cub Track Day Negeri Sarawak 2026 di perkarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

Ahmad berkata, program itu memberi peluang kepada golongan belia merasai sendiri pengalaman berada dalam suasana perlumbaan sebenar, tetapi dalam persekitaran yang lebih selamat dan terkawal.
“Program seperti ini memberi pengalaman kepada belia untuk merasai bagaimana menjadi pelumba dan berlumba motosikal kapcai dengan cara yang betul, bukannya berlumba secara haram.

“Mereka juga diberikan panduan mengenai undang-undang, apa yang patut dibuat, apa yang boleh dilakukan dan perkara yang tidak dibenarkan ketika berada di dalam litar,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan minat terhadap motosikal dapat disalurkan kepada aktiviti yang lebih positif, selain membina kemahiran dan disiplin dalam kalangan peserta.
Ahmad berkata, lebih daripada 30 peserta mengambil bahagian dalam program kali ini dan jumlah tersebut masih dianggap positif meskipun lebih rendah daripada sasaran awal.
“Kadang-kadang kita perlu melihat dari perspektif yang lebih luas.
Banyak program berlangsung pada hari yang sama, selain komitmen kerja dan keadaan jerebu yang masih ada.
“Objektif program tetap tercapai kerana mereka mendapat pengalaman dan pendedahan yang diperlukan,” katanya.
Beliau juga berharap penyertaan pada masa akan datang dapat diperluas dengan pelibatan lebih ramai peserta wanita.
Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Rakan Muda, Rakan Litar, SMA, Kelab Sukan Permotoran D1 (D1MC) serta semua pihak yang bekerjasama menjayakan program berkenaan.
Sepanjang program, peserta mengikuti pengenalan undang-undang sukan bermotor, asas teknikal litar, tunggangan defensif serta latihan praktikal dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.
Program itu terbuka secara percuma kepada peserta berusia 18 tahun ke atas yang sihat tubuh badan.


