BINTANGOR: Asap tebal dan api marak di sebalik sebuah bangunan di Jalan Dermaga di sini awal pagi tadi mengejutkan penduduk apabila mendapati sebuah motosikal terbakar.
Kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu disedari orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sampai di lokasi, pasukan kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran bangunan. Api marak memusnahkan kenderaan itu sepenuhnya, namun tidak merebak kepada struktur bangunan berdekatan,” katanya.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.
Beliau menegaskan, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden itu.
“Seramai lima anggota bersama dengan sebuah jentera terlibat dalam operasi berkenaan,” jelasnya.
Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.



