MPKK dibantah di kawasan DUN Kakus

TATAU: Kira Kira 80 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Daerah Tatau membantah sekeras- kerasnya penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) di kawasan mereka terutama Dewan Undangan Negeri(DUN) Kakus.

Pemanca Gerosen Jubin berkata mewakili KMKK Daerah Tatau khususnya DUN Kakus mereka membantah serta tidak menerima cadangan menubuhkan MPKK.

Tegasnya, pendirian mereka untuk mempertahankan kedamaian, perpaduan, kestabilan masyarakat di negeri ini yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Kami sebulat suara membantah penubuhan MPKK)di kawasan Daerah Tatau yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan(PH) di Sarawak untuk kepentingan politik dengan agenda tersembunyi dengan alasan untuk menyalurkan peruntukan.

Keadaan ini sudah tentu memberi kesan negatif kepada perpaduan yang lama terjalin di antara penduduk terutama yang tinggal di rumah panjang, katanya dalam mesyuarat membantah penubuhan MPKK di Daerah Tatau bertempat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Tatau.

Kata Gerosen lagi, penduduk rumah panjang di kawasan Daerah Tatau tidak memerlukan MPKK kerana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada masih relevan dalam menguruskan hal ehwal berkaitan kampung dan rumah panjang masing-masing.

Malah, katanya lagi, sistem JKKK sedia ada juga diurus dan dipantau dengan berkesan oleh Pejabat Daerah Tatau.

Jadi pada kami “Perlaksanaan MPKK sangat tidak perlu dan ianya hanya dilihat sebagai pencabulan kepada hak Negeri Sarawak terutamanya dalam pengurusan rumah panjang atau kampung.

Perlantikan Ketua Kaum merangkumi Tuai Rumah , Ketua Kampung atau Kapitan dibuat melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri,tambahnya lagi.

Kami menolak MPKK kerana ia dilihat berunsur politik selain boleh mengganggu – gugat keamanan dan perpaduan penduduk rumah panjang dan kampung sekiranya terdapat dua ketua yang berbeza ditubuhkan dalam sebuah rumah panjang (MPKK – Kerajaan Persekutuan manakala JKKK – Kerajaan Negeri Sarawak) dan secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kelestarian adat perlantikan sebelum ini.

Perlaksanaan MPKK juga juga akan mengakibatkan masyarakat rumah panjang atau kampung berpecah belah dan keadaan menjadi lebih kucar-kacir kerana terdapat kelompok yang menyokong parti pembangkang atau yang tidak terpilih menjadi ketua kaum sudah tentu akan berminat menubuhkan MPKK di rumah panjang atau di kampung masing-masing.

“Perlaksanaan MPKK akan mengakibatkan wujudnya dua ketua dalam sesebuah rumah panjang atau kampung sekaligus boleh menyebabkan pertindihan pengurusan, katanya.

Sekiranya PH benar ikhlas mahu menyalurkan peruntukan,mereka boleh mengunakan saluran yang sedia ada iaitu melalui JKKK seperti yang dilakukan oleh Kerajaan terdahulu sebelum ini ujarnya lagi.

Keputusan menolak cadangan penubuhan MPKK itu adalah salah satu resolusi yang dicapai dalam mesyuarat membabitkan KMKK Daerah Tatau itu.

TOLAK MPKK.. Pemanca Gerosen mengetuai KMKK Daerah Tatau memprotes cadangan penubuhan MPKK di Daerah Tatau.