KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus mempergiat usaha meningkatkan kebersihan kawasan bagi mengurangkan pembiakan lalat di bawah kawasan pentadbirannya.
Pengerusinya, Abang Ismawi Abang Ali, berkata selaras dengan usaha itu, MPKS menganjurkan Program Gotong-Royong Sempena Kawalan Lalat di kawasan Gerai Penjaja Pangkalan Feri Samarahan, semalam.
“Program ini bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih, sihat dan selesa kepada peniaga, pengunjung serta komuniti setempat, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

“Inisiatif ini turut memperkukuh kerjasama antara MPKS, para penjaja dan masyarakat dalam usaha mengawal pembiakan lalat serta memastikan kawasan perniagaan sentiasa berada pada tahap kebersihan yang memuaskan,” katanya.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan perniagaan, longkang serta lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan lalat.
Aktiviti itu disertai oleh Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MPKS bersama para penjaja, peniaga serta komuniti setempat.

Selain itu, Abang Ismawi berkata MPKS turut mengagihkan botol semburan serai wangi kepada semua penjaja sebagai usaha menggalakkan penggunaan bahan penghalau lalat yang mesra alam, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih bersih dan selesa.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
“Saya juga berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan bagi memastikan kawasan Gerai Penjaja Pangkalan Feri Samarahan sentiasa bersih, kondusif dan bebas daripada pembiakan lalat demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.



