KUCHING: Cadangan untuk melaksanakan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan membuang sampah kecil bukan mudah, tetapi merupakan langkah yang baik.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Datuk Peter Minos berkata, mereka yang melakukan kesalahan tersebut sering kali tidak mudah dikesan.
“Kami di MPKS akan terus melakukan yang terbaik melalui usaha untuk pasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi menangani isu ini.
“Negara seperti Singapura mengenakan denda berat kepada pesalah yang tertangkap, manakala China menggunakan kedua-dua kaedah, iaitu denda serta hukuman penjara bagi mereka yang didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurut Minos, denda adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan, namun ia mungkin lebih sesuai untuk kawasan bandar dan perlu lebih ringan di kawasan luar bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa pesalah berulang perlu diberi pengajaran, seperti menggandakan jumlah denda yang dikenakan.
Minos turut mencadangkan agar wang yang dikutip daripada denda pembuangan sampah digunakan untuk membiayai program kebersihan awam.
“Secara keseluruhan, kami menyokong cadangan ini kerana kami di MPKS sudah bosan dengan sikap individu yang suka membuang sampah merata-rata serta pembuang sampah haram.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk melaksanakan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam bagi kesalahan membuang sampah kecil melalui pindaan akta berkaitan.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa pindaan tersebut melibatkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).





