KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan membina sebuah jalan alternatif baharu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Batu Kawah, di sini.
Menurut Pengerusi MPP, Tan Kai, pihaknya bakal melaksanakan pembinaan jalan akses baharu itu dari Jalan Ensing Timur ke persimpangan Jalan Datuk Tan Men Chong, Batu Kawah.

“Jalan yang akan dibina ini mempunyai dua buah lorong.
“Pelaksanaannya adalah untuk menyediakan sebuah jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan di persimpangan masuk ke jalan Stapok Utara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, projek tersebut diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) daripada kerajaan Negeri Sarawak.
“Oleh itu, tender projek ini mula diiklan pada hari ini, 31 Oktober dan tutup pada 20 November depan.
“Mengikut perancangan, pembinaan akan bermula pada tahun hadapan dan mengambil masa selama lapan bulan untuk disiapkan,” tambahnya.


