KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengambil inisiatif menghiasi kawasan sekitar Kota Padawan dengan dekorasi Krismas sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
Hiasan perayaan tersebut dipasang di beberapa lokasi tumpuan termasuk sekitar bangunan ibu pejabat MPP.
Pengerusi MPP, Cr Tan Kai berkata usaha itu mencerminkan semangat kebersamaan penduduk Padawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya dan agama namun sentiasa meraikan setiap musim perayaan secara bersama.
Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan aspirasi MPP untuk memupuk hubungan harmoni dalam kalangan komuniti setempat.
“Selain kawasan pejabat MPP, antara lokasi ikonik lain yang turut dihiasi dengan dekorasi Krismas ialah Taman Tebingan Sungai Batu Kawah yang menjadi tarikan orang ramai sepanjang musim perayaan ini.
“Sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Cr Tan Kai turut mengedarkan kalendar Majlis Perbandaran Padawan 2026 kepada penduduk di bawah pentadbiran MPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mewakili barisan ahli majlis, kakitangan dan pengurusan MPP, beliau turut merakamkan ucapan “Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu” kepada seluruh warga Padawan.








