KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengesahkan bahawa kekerapan kutipan sampah kekal tidak berubah, iaitu dua kali seminggu pada setiap Rabu dan Sabtu.
Pengerusinya Tan Kai berkata, perkara itu disahkan berdasarkan pemeriksaan di lapangan serta laporan yang dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan.
Ia sekali gus, menepis dakwaan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen bahawa kekerapan kutipan sampah di Batu Kawa Old Bazaar berkurang.
“Susulan dakwaan tersebut, kami mengadakan perbincangan khas bersama-sama Trienekens Sarawak Sdn. Bhd. untuk mengesahkan perkara itu.
“Jelas bahawa dakwaan tersebut tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai. Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan khabar angin dan tidak disokong fakta.
“Ahli Parlimen Stampin itu sepatutnya mendapatkan pengesahan fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi MPP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan rekod pihak MPP dan penyedia perkhidmatan, terdapat peningkatan jumlah sampah yang dihasilkan sepanjang musim perayaan Gawai yang lalu.
Bagaimanapun, semua sampah dikutip pada hari yang sama dan kekerapan kutipan tidak berubah.
Aduan boleh disalurkan kepada Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd. melalui Talian Khidmat Pelanggan di 082-612300 atau melalui e-mel di customercare@trienekens.com.my.
Selain itu, aplikasi Trienekens Customer Care boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play untuk membuat laporan serta memantau isu berkaitan kutipan sampah dengan lebih mudah dan pantas.



