KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kini memfokuskan usaha membesarkan parit kecil di kawasan berisiko banjir bagi mengawal kenaikan air secara mendadak ketika musim hujan berterusan.
Pengerusinya, Cr. Tan Kai berkata, setakat ini beberapa parit di kawasan sekitar Batu Kawa telah dibesarkan menerusi kerja-kerja penggalian yang dilaksanakan oleh JCB Engineering Sdn Bhd.
“Kita selalu membantu penduduk dengan mengorek parit yang sesak menerusi bantuan JCB serta membantu proses pelaksanaan projek Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
“Ketika banjir melanda, kita juga fokus kepada bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dari segi pembersihan dan kemudahan lain yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di Dewan Serbaguna Kampung Sinar Budi, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menyeru agensi berkaitan berganding bahu bagi memastikan mangsa bencana khususnya banjir mendapat bantuan sewajarnya.
Mengulas inisiatif dilaksanakan YAPEIM itu, Tan Kai menzahirkan penghargaan sambil berharap bantuan tersebut bukan yang terakhir untuk dilaksanakan di Sarawak.
“Sarawak sememangnya memerlukan bantuan sedemikian khususnya dalam pembangunan masyarakat, seiring Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Ia selaras dengan cogan kata ‘tiada seorang pun yang akan tertinggal’. Jadi terima kasih kepada YAPEIM kerana membantu kita memastikan tiada siapa yang akan ditinggalkan,” katanya.

DUN Sarawak: Kadar pengangguran graduan Sarawak menurun
KUCHING: Kadar pengangguran graduan di Sarawak menurun sebanyak 27.3 peratus dalam tempoh lima tahun kepada 3.2 peratus pada 2024, meskipun jumlah graduan yang dihasilkan universiti

