ARTIKEL

MRSM Bintulu sedia pendidikan berkualiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PELANCARAN rasmi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu pada 1 November melambangkan sebuah pencapaian yang signifikan dalam menyediakan peluang kepada para pelajar di Sarawak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

Projek ini adalah usahasama yang melibatkan PETRONAS, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.

Majlis Perasmian Kampus MRSM Bintulu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dengan disaksikan Pengerusi PETRONAS Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh.

Dalam majlis yang sama, Premier turut menyaksikan penyerahan kampus berkenaan oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Farehana Hanapiah dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli, kepada Ketua Pengarah MARA, Dato’ Sri Azhar Abdul Manaf, untuk pengendalian operasinya.

Turut hadir mewakili MARA ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Berucap di majlis berkenaan, Datuk Rubiah berkata, kerjasama tiga penjuru antara MARA, Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS bakal menjadi pemacu pembangunan pendidikan di Bintulu, terutamanya dalam aspek modal insan.

“MARA akan terus komited dalam memastikan pembangunan sektor keusahawanan dan pendidikan sentiasa diutamakan.

Manakala, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus menjadi “rural hero” dalam mensejahterakan luar bandar dan membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di Sarawak,” ujar beliau.

MRSM Bintulu merupakan MRSM yang keempat di Sarawak.

Kampus yang berkeluasan 22,000 meter persegi ini melibatkan kos pembinaan RM122 juta dan mempunyai pelbagai kemudahan terkini bagi memenuhi pelbagai keperluan pelajar dan pendidik.

Ini termasuk Bangunan Pentadbiran, Blok Akademik, Pusat Sumber, Asrama Pelajar, Pusat Pelajar, Dewan Makan, Dewan Serbaguna, Pavilion, Surau, Kediaman Kakitangan, Kediaman Guru, dan Kemudahan Sukan.

MRSM Bintulu memupuk minat STEM Dalam ucapan perasmian beliau, Abang Zohari menekankan kepentingan pendidikan STEM dalam pembangunan ekonomi masa hadapan.

“Kepentingan pendidikan STEM tidak dapat dinafikan dalam melahirkan modal insan berkeupayaan tinggi bagi memacu pembangunan negeri, seiring dengan perkembangan digital yang semakin pesat,” beliau berkata.

Farehana Hanapiah turut menyuarakan kepentingan usaha bagi menggalakkan para pelajar menceburi bidang STEM dalam memacu pembangunan khususnya dalam bidang industri tenaga.

“Bagi PETRONAS, pelaburan dalam teknologi di Sarawak adalah penting berikutan banyak penemuan sumber asli di rantau ini, serta ia memerlukan lebih ramai jurutera dan saintis untuk membangunkan penyelesaian dan teknologi inovatif untuk industri tenaga mampan,” katanya ketika ditemubual.

Di samping itu, katanya, PETRONAS percaya bahawa melalui pembinaan MRSM Bintulu ini, ramai pihak akan memperoleh manfaat jangka panjang terutamanya para pelajar dan juga kakitangan MRSM Bintulu itu nanti.

Walaupun MRSM Bintulu mempunyai kapasiti untuk 450 pelajar, kampus itu menyasarkan kira-kira 180 pelajar dari Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 untuk kohort yang pertama sempena sesi akademik yang akan bermula pada tahun hadapan.

“MARA juga komited untuk menempatkan tenaga pengajar yang terbaik di MRSM Bintulu,” tambah Farehana.

Usahasama merealisasikan aspirasi bersama Kerjasama antara PETRONAS, Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA menandakan bahawa semua pihak mempunyai satu aspirasi murni yang sama, iaitu untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti terutamanya bagi anak-anak Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama ini, Farehana berkata bahawa MRSM ini dirangka mengikut keperluan kemudahan yang disarankan oleh MARA dan lokasi pembinaannya pula disediakan oleh Yayasan Sarawak.

“Untuk pembinaan MRSM Bintulu ini, kami amat berterima kasih kepada pihak Yayasan Sarawak yang telah menyediakan sebidang tanah bagi membangunkan projek tersebut serta membantu merealisasikan hasrat dan usaha kami dalam memacu pendidikan.

“Pembinaan MRSM Bintulu ini sebenarnya telah bermula pada 2018 tetapi mengalami sedikit kelewatan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, dengan bantuan daripada pelbagai agensi dan pihak berkepentingan, pembinaan sekolah ini akhirnya dapat disiapkan,” ujarnya.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh, dalam ucapan aluannya, berkata penyerahan kampus tersebut menandakan kejayaan usahasama antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA.

“Selaras dengan aspirasi bagi memperkasakan pembangunan modal insan yang berketerampilan, PETRONAS dengan dokongan dan sokongan penuh yang diberikan oleh semua pihak terlibat telah berjaya menyempurnakan pembangunan MRSM Bintulu ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

PETRONAS ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA dalam menjayakan projek usahasama ini,” beliau berkata.

Secara dasarnya, PETRONAS membayangkan MRSM Bintulu bakal menjadi sebuah institusi pendidikan yang berupaya menarik minat serta membangunkan bakat terbaik, dan juga melahirkan graduan yang boleh akan menyumbang kepada industri tenaga negara.

Pelajar sertai program Discover PETRONAS @Schools Bersempena majlis tersebut, PETRONAS turut menganjurkan program ‘Discover PETRONAS @Schools’ (DPS) dimana lebih daripada 400 pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah dari Bintulu, Tatau dan Sebauh menyertai pelbagai aktiviti berasaskan sains.

DPS bertujuan untuk memupuk minat pelajar dalam industri minyak, gas dan tenaga, meningkatkan kesedaran jenama PETRONAS, mengukuhkan pengetahuan mengenai penajaan pendidikan PETRONAS dan mewujudkan rangkaian mampan di kalangan PETRONAS, Kementerian Pendidikan dan para pelajar.

DPS terdiri daripada pameran dan forum kerjaya yang memaparkan aktiviti interaktif dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang dijalankan oleh sukarelawan PETRONAS.

PETRONAS sebagai sebuah syarikat terkemuka dalam industri minyak, gas dan tenaga amat komited terhadap pembangunan modal insan serta memberi fokus utama terhadap pelaburan jangka panjang dalam pendidikan.

BERITA LAIN

MEREMAJAKAN SKIM RONDAAN SUKARELA

SKIM Rondaan Sukarela (SRS) telah dilancarkan pada 21 Februari 2004. Tujuan utama penubuhan SRS adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di

BERITA TERBARU

MEREMAJAKAN SKIM RONDAAN SUKARELA

SKIM Rondaan Sukarela (SRS) telah dilancarkan pada 21 Februari 2004. Tujuan utama penubuhan SRS adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di