ARTIKEL

MTUC Sabah dan Sarawak sambut baik pindaan SIP 2025 dan Skim Lindung 24/7

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak dan Sabah menyambut baik pembentangan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 serta pindaan Akta Keselamatan Sosial yang memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24/7).

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi MTUC Sarawak, Zaidi Nasar dan Pengerusi MTUC Sabah,
Mohd Airy Airin, menyifatkan langkah itu sebagai usaha progresif memperkukuh jaringan perlindungan sosial pekerja di seluruh negara.

MTUC menegaskan bacaan kedua RUU tersebut membawa pendekatan kerangkuman nasional dengan menaikkan beberapa bantuan termasuk Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sehingga RM1,000, Elaun Latihan RM30 sehari, Fi Latihan RM7,000 dan peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan.

Skim Lindung 24/7 pula dilihat menutup jurang perlindungan apabila hanya 40 peratus pekerja dilindungi insurans swasta, selaras prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

MTUC turut menekankan keperluan bacaan ketiga mengambil kira realiti tenaga kerja di Borneo, termasuk faktor geografi yang luas, mobiliti pekerja tinggi serta risiko sektor perladangan, minyak dan gas, pembalakan dan pelancongan.

Golongan pekerja gig dan belia dalam ekonomi digital di Sabah dan Sarawak turut memerlukan perlindungan sosial lebih fleksibel dan inklusif.

Menurut MTUC, pindaan ini memberi manfaat menyeluruh kepada pekerja, majikan dan kerajaan melalui jaminan sosial lebih kukuh, pasaran kerja stabil serta pengurangan beban kewangan keluarga.

“Kita merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia atas komitmen membawa reformasi ini, yang dilihat meningkatkan imej Malaysia sebagai negara yang mengutamakan kesejahteraan pekerja.

“MTUC Sarawak dan Sabah turut menyeru pelaksanaan pindaan dibuat secara menyeluruh melalui libat urus berterusan serta penyampaian maklumat jelas mengenai kadar caruman dan faedah perlindungan supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri dengan lebih mudah,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU