ARTIKEL

Pengerusi MTUC Zaidi Nasar

MTUC Sarawak Cadang Pemberian Bonus Untuk Pekerja Swasta Dalam Belanjawan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak menyeru kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian bonus tahunan antara RM300 hingga RM500 melalui e-dompet kepada pekerja swasta dan separuh mahir.

Pengerusinya, Zaidi Nasar berkata, cadangan itu bagi memastikan manfaat belanjawan negeri diperluas kepada semua golongan pekerja, tidak terhad kepada penjawat awam dan penerima bantuan sedia ada sahaja.

“Kerajaan negeri menunjukkan komitmen ke atas kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan sepanjang 2020 hingga 2025.

“Namun, kita berpandangan prinsip keadilan sosial perlu digariskan bagi memastikan pekerja sektor swasta dan separuh mahir turut menerima manfaat daripada peruntukan Belanjawan Negeri.

“Golongan berkenaan merupakan antara pemacu utama produktiviti negeri, khususnya dalam sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga mencadangkan subsidi kos sara hidup antara RM50 hingga RM100 sebulan bagi pembelian barangan asas seperti beras, minyak masak, susu dan gas.

Selain itu, bantuan pendidikan antara RM200 hingga RM300 setahun kepada anak pekerja bagi tujuan pembelian buku, peralatan sekolah atau pembayaran yuran pendidikan.

“Kita juga mencadangkan agar pemberian baucar latihan aliran teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan digital bernilai RM500 hingga RM1,000 setahun.

“Usaha ini bagi membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam bidang digital, automasi dan tenaga hijau,” katanya.

Dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup, rebat utiliti sebanyak 25 peratus bagi bil elektrik dan air kepada isi rumah pekerja juga perlu dikekalkan.

“Pada masa sama, kita menyokong pelaksanaan Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) kepada penjawat awam dan menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun serta sektor swasta mempertimbangkan imbuhan seumpamanya.

“Pendekatan itu dapat membantu meningkatkan kesejahteraan pekerja, menyokong produktiviti serta menggalakkan hubungan industri yang lebih harmoni,” ujarnya.

Zaidi juga meluahkan harapan agar Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempertimbangkan semua cadangan berkenaan dalam Belanjawan Negeri akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

WFL FC menang bergaya

BINTULU: Akademi WFL FC menutup kempen Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun dengan bergaya apabila menewaskan Jepak Primary School