MTUC Sarawak desak kerajaan adakan persidangan segera luluskan pindaan Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Pekerjaan

KUCHING: Kerajaan masih belum mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing di negara ini.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Mohamad Ibrahim berkata, perkara terbabit perlu dilakukan sebelum negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

“Kerajaan seharusnya meneruskan reformasi undang-undang buruh komprehensif yang sangat diperlukan untuk menawarkan perlindungan lebih besar kepada pekerja.

“Kerajaan, pekerja dan Kesatuan Sekerja mesti merebut peluang itu untuk mendorong perubahan dan menerapkan standard dan amalan buruh antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, majikan mesti menyedari bahawa kegagalan untuk melakukan perniagaan akan menyebabkan perniagaan terkeluar daripada rangkaian bekalan global.

“Kami telah melihat bukti dari negara-negara yang mempunyai kesatuan pekerja kuat, berkesan, wakil dan bebas apabila gaji sebenar telah meningkat.

“Perkara lebih penting ialah industri perusahaan mereka berkembang, dengan adanya keuntungan dan produktiviti yang tertinggi,” jelasnya

Justeru, MTUC meminta kerajaan untuk segera bersidang bagi meluluskan pindaan Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Pekerjaan yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2019.

“Dengan itu Konvensyen ILO 87 mengenai Kebebasan Bergaul dan Konvensyen ILO 190 mengenai Keganasan dan Penganiayaan dapat disahkan.

“Malah, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang perumahan, tempat tinggal dan kemudahan minimum pekerja untuk mengawal jangkitan Covid-19 perlu diperkasakan,” ujarnya.

Beliau memberitahu sistem perlindungan sosial, memperluas perlindungan untuk pekerja yang menganggur dan mereka berada di bawah garis kemiskinan semasa pandemik Covid-19 juga perlu dirombak.

Suara Sarawak