Muay Thai tarikan Pesta Tasik Biru

PERTANDINGAN seni mempertahankan diri, Muay Thai bakal menjadi tarikan utama dalam Pesta Tasik Biru 2019 pada 27 hingga 29 September depan.

Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep melahirkan keyakinan tersebut kerana ia bukan sahaja salah satu seni mempertahankan diri malah, aktiviti sukan yang sihat.

Justeru beliau yakin, pertandingan berkenaan akan menarik ramai peserta terutamanya kalangan belia tempatan bahkan dari luar kawasan Bau.

Henry berucap semasa Majlis Penutupan Pertandingan Bau Muay Thai 2019 di Pekarangan Tapak Perhentian Bas Bau, semalam.

Menurut Henry, seni mempertahankan diri itu perlu dijadikan sebagai salah satu aktiviti riadah yang baik untuk golongan belia.

Tambahan, ia dapat membantu mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti yang kurang sihat.

“Seni mempertahankan diri Muay Thai bukan sahaja dapat memberi kesihatan baik kepada tubuh badan seseorang malah ia amat berguna sebagai seni untuk mempertahankan diri,” jelasnya.

Henry juga memberitahu, program tersebut mampu menjadi landasan mengesan bakat-bakat baharu yang dapat dijadikan pelapis bagi sukan tersebut di peringkat yang lebih tinggi.

SUKAN… Henry bersama dengan jawatankuasa penganjur Pertandingan Muay Thai di Bau, semalam.